Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Pelbagai barang tegahan telah dirampas dalam dua gerakan operasi yang dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) pada 1 dan 2 Julai lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKED, di sini, kelmarin, gerakan operasi pertama dikendalikan ke atas sebuah rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait berikutan maklumat yang diterima berkaitan dengan penyimpanan dan penjualan barang-barang tegahan kastam.
Dalam operasi itu, JKED berjaya menahan barang-barang tegahan kastam yang disembunyikan di dalam beberapa buah bilik iaitu sebanyak 137 karton dan 36 tin minuman keras pelbagai jenis, 268 karton dan 48 paket rokok pelbagai jenis, beberapa paket mercun serta peralatan vape termasuk beberapa botol jus vape.
Manakala itu, gerakan operasi kedua pula dijalankan hasil daripada rondaan rutin di kawasan persisiran Sungai Salar, di mana JKED telah mendapati barang-barang tegahan tanpa pemilik iaitu 77 botol dan 99 tin minuman keras pelbagai jenis serta 400 karton rokok pelbagai jenis yang telah di seludup dan diletakkan di kawasan persisiran Sungai Salar.
Kenyataan menyatakan bahawa kesemua barang berkenaan dirampas untuk tindakan pelupusan. Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa semasa operasi pertama dijalankan, JKED telah menahan seorang wanita penduduk tetap berumur 55 tahun dan wanita berkenaan telah dibawa ke pejabat Penguatkuasaan Undang-undang JKED, Kuala Belait untuk siasatan lanjut.
JKED dalam kenyataan itu, menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara yang berkuat kuasa pada masa ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan dan juga larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi-agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang berkenaan.
