Gambar AP
SAMARINDA, INDONESIA – Di wilayah Kalimantan Timur, Indonesia, kebergantungan negara itu kepada batu arang dapat dilihat dengan jelas.
Memandu di lebuh raya bertol di rantau ini, orang yang lalu lalang boleh menyaksikan jengkaut menggali batu arang dari lombong sambil trak melintas yang dipenuhi dengan batu arang yang kaya dengan karbon.
Di bawah jambatan di Samarinda, ibu kota wilayah itu, ratusan bukit batu arang raksasa yang hitam legam dilonggokkan di dalam tongkang dan ditarik di sepanjang laluan air, menuju ke loji di seluruh Indonesia atau negara lain.
Ini adalah satu pemandangan yang kerajaan Indonesia berikrar untuk hentikan secara drastik atau sekurang-kurangnya berperingkat, dengan bersetuju kepada kira-kira lima skim daripada pihak berkepentingan antarabangsa, termasuk penandatanganan perjanjian Just Energy Transition Partnership (JETP) bernilai AS$20 bilion. Walaupun perjanjian itu bertujuan untuk menjadikan salah satu negara pengeluar batu arang terbesar di dunia ke arah sumber tenaga yang lebih hijau, pakar memberi amaran bahawa kewangan, dasar, infrastruktur dan cabaran lain di negara itu perlu diatasi.
Peralihan tenaga Indonesia adalah ‘sangat unik’ kerana pertumbuhan ekonomi yang tinggi, geografi, pusat penduduk dan potensi tenaga bersih, kata David Elzinga, pakar tenaga utama di Bank Pembangunan Asia.



Walaupun Indonesia berpotensi mendapatkan tenaga daripada sumber solar, hidro, geoterma, angin dan sumber lain, hanya kira-kira 12 peratus daripadanya diterokai, menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa. Hampir semua permintaan tenaga dipenuhi oleh bahan api fosil, dengan 60 peratus datang daripada batu arang yang sangat mencemarkan.
Masih bergantung bahan api fosil
Ini bermakna individu seperti pembuat bot, Jembong, 55, boleh bergantung kepada solar untuk mentol lampu atau menonton televisyen. Tetapi untuk peralatan berkuasa tinggi yang digunakannya untuk membuat bot dari rumahnya di Pulau Karampuang, dia memerlukan diesel.
“Jika saya tidak boleh menggunakan enjin diesel, saya tidak boleh bekerja,” katanya.
Ia memberi kesan kepada alam sekitar. Pada tahun 2021, pelepasan karbon bagi sektor tenaga Indonesia adalah sekitar 600 juta tan karbon dioksida, yang merupakan negara kesembilan tertinggi di dunia, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa.
Pertumbuhan penduduk dan ekonomi dijangka akan meningkatkan penggunaan tenaga negara sebanyak tiga kali ganda menjelang 2050.
“Agak mencabar untuk membuat perubahan semasa awda mempunyai pertumbuhan yang begitu pesat,” kata Elzinga.
“Ia berbeza daripada sebuah negara maju yang mempunyai sumber kewangan yang besar dan pertumbuhan ekonomi yang rendah.”
Pegawai Indonesia telah memberi isyarat bahawa mereka telah memulakan peralihan.
Mereka telah mengumumkan peraturan baharu mengenai solar, menetapkan matlamat untuk meningkatkan bahagian pasaran kenderaan elektrik di Indonesia kepada 25 peratus daripada jumlah jualan kenderaan menjelang 2030 dan telah menempatkan stesen pengecasan.
Tetapi pakar memberi amaran bahawa Indonesia masih ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara yang lain.
Indonesia telah meminta bantuan daripada negara yang lebih maju.
“Kami tidak mahu dihadkan dari segi keupayaan kami untuk berkembang dari segi ekonomi,” kata Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Rachmat Kaimuddin. “Negara-negara industri boleh menyokong kami.”
Dengan perjanjian JETP baharu, Indonesia menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar bersih daripada sektor tenaga menjelang 2050, membawa ke hadapan sasarannya selama sedekad, dan mencapai kemuncak pelepasan tersebut menjelang 2030. Ia meningkatkan sasarannya untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui sebanyak satu pertiga daripada semua penjanaan kuasa menjelang 2030.
Tetapi pembiayaan tetap menjadi halangan, kata Elrika Hamdi, penganalisis kewangan tenaga yang berpangkalan di Indonesia di Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan.
Dianggarkan Indonesia memerlukan sehingga AS$2.4 trilion dalam pelaburan terkumpul merentasi sistem tenaga menjelang 2050, satu jumlah yang jauh lebih besar daripada wang yang ditetapkan pada masa ini.
“Kami masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk mengetahui bagaimana kami boleh mengumpulkan pembiayaan untuk melaksanakan rancangan ini,” kata Hamdi.
“Bagaimana wang itu disediakan, sama ada pinjaman, geran atau skim pembiayaan lain, juga menjadi kebimbangan,” kata Grita Anindarini, pengarah program di Pusat Undang-undang Alam Sekitar Indonesia.
“Kami hanya mahu memastikan bahawa dana ini tidak akan membawa kepada perangkap hutang,” kata Anindarini.
Pelbagai cabaran perlu dihadapi
Hamdi menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana wang daripada skim peralihan boleh dibelanjakan. Dalam laporan baru-baru ini, beliau mengkritik ‘kekurangan pendedahan mengenai kriteria pemilihan’ untuk loji yang dipilih bagi pembelian penamatan awal oleh syarikat elektrik milik kerajaan Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN), termasuk beberapa loji yang akan ‘melangkaui hayat berguna menjelang 2055’.
“PLN harus menamatkan perkhidmatan mereka dalam beberapa tahun akan datang dan menghapuskannya,” tulis Hamdi dalam laporan itu.
Kebimbangan lain yang ditimbulkan oleh aktivis ialah perjanjian JETP tidak menerangkan dengan jelas sebarang sekatan, jika ada, yang akan dikenakan jika Indonesia membina loji arang batu baharu, atau sama ada Indonesia perlu mengurangkan eksport arang batu.
Batu arang adalah aset yang berharga dalam ekonomi Indonesia, dengan negara itu menjadi pengeksport terbesar mengikut tan di dunia. Pelanggannya termasuk China, India dan Jepun.
Peperangan di Ukraine telah menyebabkan lonjakan kos tenaga, dengan kenaikan harga berkemungkinan kekal tinggi selama dua atau tiga tahun akan datang, kata Hamdi.
“Awda boleh memahami rasional mereka mahu membangunkan industri dan sumber asli mereka,” kata Elzinga. “Tanggungjawab komuniti pembangunan dan mereka yang ingin menyokong Indonesia adalah sangat penting untuk menghasilkan penyelesaian yang membolehkan mereka melakukan kedua-duanya.”
Dalam satu kenyataan bertulis yang dihantar kepada Associated Press, Darmawan Prasodjo, Ketua Pegawai Eksekutif PLN, menulis bahawa syarikat itu telah membatalkan beberapa loji batu arang dalam rancangan perniagaan jangka terdekat mereka dan “komited untuk menerajui peralihan tenaga di Indonesia.”
Muliawan Margadana, naib pengerusi Persatuan Perlombongan Indonesia, dan pakar menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan masyarakat yang bergantung kepada industri batu arang, yang membentuk 35 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kalimantan Timur dan menggaji hampir 9 peratus daripada penduduknya.
“Lebih 250,000 orang bekerja secara langsung dengan perlombongan batu arang. Jika kita mengira keluarga mereka, kira-kira 1 juta orang terjejas,” kata Margadana.
Tetapi dia berkata bahawa reskilling pekerja boleh dilaksanakan, sesuatu yang dipersetujui oleh Hamdi.
“Apa yang penting, dan akan dianggap adil, ialah bagaimana pembiayaan peralihan akan diperuntukkan untuk membantu pekerja yang terjejas ini, sama ada melalui peningkatan kemahiran, reskilling atau pembangunan komuniti,” kata Hamdi.
Dasar tenaga domestik juga tidak seiring dengan peralihan, terutamanya untuk tenaga solar, yang merupakan sumber utama laluan Indonesia ke arah sifar bersih, kata Daniel Kurniawan, seorang penyelidik yang memberi tumpuan kepada solar untuk Institut Pembaharuan Perkhidmatan Penting.
Terdapat kekurangan persekitaran penggubalan dasar yang kukuh dan komitmen politik bagi Indonesia untuk “beralih kepada tenaga bersih di tengah-tengah lebihan kapasiti, didorong oleh kebergantungan yang keterlaluan pada kuasa batu arang,” katanya. “Walaupun itu pasti berubah dengan JETP.”
Geografi memberikan satu lagi cabaran. Indonesia adalah sebuah kepulauan yang besar dengan perbezaan ketara dalam sumber tenaga, pusat pengedaran dan populasi, kata Elzinga. Contohnya Jawa, pusat pentadbiran negara, mempunyai kira-kira 60 peratus daripada populasi dan kira-kira 75 peratus daripada penggunaan elektrik, tetapi hanya menyumbang peratus kecil kepada potensi tenaga boleh diperbaharui.
Walaupun cabarannya berbeza-beza, ia tidak mustahil untuk diatasi, kata Hamdi. Organisasinya dan yang lain sedang memantau perkembangan peralihan tenaga Indonesia.
“Kita juga perlu melihat bagaimana peralihan tenaga ini akan mewujudkan impak yang lebih baik dan masa depan yang lebih baik untuk komuniti kita,” kata Hamdi. – AP

