Oleh Sim Y.H –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Belanjawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) khususnya bagi tajuk-tajuk di bawah SA08A hingga SA27A serta belanjawan Kementerian Pembangunan telah dibincangkan semasa Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang bagi hari ke-13 di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Semasa permesyuaratan berkenaan, beberapa soalan tertumpu pada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah dibangkitkan oleh ahli-ahli MMN yang dilantik antaranya cadangan untuk mengemas kini peraturan-peraturan perkhidmatan awam dan sejajar dengan transformasi digital kerajaan oleh Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin, dan penguatkuasaan peraturan dan dasar berkaitan gangguan seksual di tempat kerja dalam kalangan wanita oleh Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam.
Selain itu, cadangan bagi meningkatkan penggunaan teknologi dalam kalangan penjawat awam oleh Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, perumahan bagi penjawat awam dan isu-isu yang berkaitan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman serta pengisian jawatan kosong di sektor kerajaan oleh Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin dan Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Di samping itu, isu berkaitan perkhidmatan elektrik juga dibangkitkan terutamanya berkenaan penyampaian maklumat berkenaan gangguan bekalan, pembaikan infrastruktur dan peningkatan kos elektrik oleh Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan serta mengenai jenayah sekuriti siber termasuk tindakan bagi melindungi kalangan kanak-kanak oleh Yang Berhormat Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Hajah Safiah.
Dalam menjawab soalan-soalan berkaitan dengan perkhidmatan awam, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menjelaskan bahawa JPM sedang aktif berusaha dalam transformasi digital perkhidmatan awam dengan memantau kecekapan organisasi melalui program bimbingan dan kaji selidik pelanggan, serta menggalakkan inovasi dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).



Berkenaan pengisian jawatan, terdapat peningkatan yang mana juga menekankan kepada keadilan dalam proses pemilihan dan pelantikan jawatan. Usaha juga dilakukan untuk meneliti semula peruntukan elaun-elaun seperti perumahan serta menilai semula peraturan perkhidmatan awam.
Langkah-langkah berkenaan bertujuan untuk memastikan perkhidmatan awam terus relevan dan efisien dalam menghadapi keperluan semasa.
Menambah bagi isu perkhidmatan awam, Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan bahawa pengisian jawatan kosong untuk Bahagian II ke bawah pada masa ini telah pun diserapkan ke kementerian masing-masing untuk mempercepatkan lagi proses pengisian jawatan.
Berkaitan isu gangguan seksual di tempat kerja, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad telah menjelaskan bahawa talian khas 141 telah disediakan bagi melaporkan isu-isu seperti itu dan segala maklumat berkenaan pengadu akan dilindungi.
Talian itu juga dikendalikan oleh operator yang berkemahiran dalam isu-isu berkenaan, tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.
Dalam menjawab isu berkaitan perkhidmatan elektrik pula, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menjelaskan bahawa JPM memastikan maklumat berkenaan perkhidmatan elektrik sentiasa disampaikan kepada orang ramai.
Manakala itu, langkah-langkah untuk pembaikan infrastruktur elektrik sentiasa dipantau pelaksanaannya bagi memastikan ia lebih efisien dengan mengutamakan tempat-tempat yang berkeperluan.
Di samping itu, jelasnya lagi, usaha dijalankan bagi meningkatkan langkah-langkah pencegahan daripada kecelakaan demi keselamatan masyarakat.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menambah dalam hal yang sama bahawa pihak kerajaan sentiasa memantau aktiviti pengubahsuaian meter secara haram yang mana kadangnya terdapat kenaikan kos bagi elektrik berpunca daripada kerosakan pada meter yang lama.
Penjelasan mengenai sekuriti siber, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menyatakan bahawa pihak kementerian ada menubuhkan satu unit bagi memantau aktiviti jenayah tersebut dan mengesyorkan mangsa untuk membuat laporan kepada pihak BruCert atau kepada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei yang akan membantu bagi isu yang berkenaan.
Dewan kemudiannya bersetuju untuk meluluskan tajuk-tajuk di bawah JPM sebelum beralih kepada perbincangan berkenaan belanjawan Kementerian Pembangunan.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid telah membentangkan hala tuju dan perancangan bagi belanjawan kementerian tersebut.
Beliau menerangkan bahawa fokus utama peruntukan diberikan kepada prinsip tadbir urus yang baik dan pematuhan dalam pengurusan aset dan projek serta dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai selain daripada peruntukan bagi projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12.
Yang Berhormat Dato juga mengongsikan pencapaian Kementerian Pembangunan yang telah berjaya meningkatkan kutipan hasil dan menyelesaikan beberapa tunggakan. Langkah-langkah juga telah dan akan diambil untuk menyediakan perumahan yang mencukupi, meningkatkan sistem bekalan air, mengawal banjir serta meningkatkan prasarana jalan raya.
Selain itu, kementerian itu terus komited untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan merancang pembinaan loji waste-to-energy.
Yang Berhormat Dato turut mengongsikan rancangan pembangunan di Daerah Temburong yang melibatkan pelbagai sektor untuk meningkatkan kemajuan daerah berkenaan.

