Pelbagai jenis patung bobblehead di Muzium Milwaukee

MILWAUKEE – Sebuah muzium baharu di Milwaukee berkemungkinan muzium terbesar yang mempamerkan patung-patung bobblehead yang bakal disaksikan oleh para pengunjung. Muzium ini mempamerkan lebih daripada 6,500 pelbagai jenis patung yang terdiri dari atlet, maskot, selebriti, haiwan, watak kartun, ahli politik dan banyak lagi.

Muzium yang dikenali sebagai The National Bobblehead Hall of Fame itu baharu sahaja dibuka untuk kunjungan orang ramai dan telah diasaskan oleh dua rakan baik iaitu Phil Sklar dan Brad Novak. Phil dan Brad telah mula mengumpul patung-patung tersebut semenjak 16 tahun yang lalu. “Kami telah meletakkan kesemua patung yang kami kumpul dalam satu bangunan ini,” kata Phil Sklar kepada media AP.

Rakan baik ini membuat keputusan untuk membina muzium tersebut empat tahun yang lalu, selepas mereka berdua membuat keputusan untuk berhenti kerja di mana Phil bekerja sebagai seorang pegawai kewangan korporat manakala Brad bekerja sebagai peniaga runcit.

Selain itu, mereka berdua juga aktif menghasilkan patung bobblehead untuk mendapatkan wang selain mengumpul patung bobblehead dari beberapa buah kedai dan penderma-penderma swasta. Phil dan Brad turut berusaha mencari lokasi yang baik untuk merealisasikan muzium tersebut.

Pelbagai jenis patung

Phil dan Brad telah mengumpul lebih daripada 10,000 patung bobblehead, termasuk patung berukuran manusia iaitu seorang pemain bola sepak, Pat Hughes dan beberapa watak dari filem klasik The Wizard of Oz dan Star Wars serta banyak lagi.

Rakan baik ini membuat keputusan untuk membina muzium tersebut empat tahun yang lalu, selepas mereka berdua membuat keputusan untuk berhenti kerja. – AP

Muzium yang dikenali sebagai The National Bobblehead Hall of Fame itu baharu sahaja dibuka untuk kunjungan orang ramai dan telah diasaskan oleh dua rakan baik. – AP

Phil dan Brad juga memiliki sebuah patung yang menyerupai presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dari drama siri TV, Apprentice. Patung-patung bobblehead yang dipamerkan akan dipindah-pindah dan diletakkan di tempat yang istimewa jika tokoh yang dipamerkan itu berada di bandar mereka.

Muzium tersebut turut memaparkan maklumat mengenai sejarah pembuatan patung bobblehead dan latar belakang tokoh yang mewakili patung tersebut. Muzium tersebut mengenakan bayaran sekitar AS$5 untuk menyaksikan dengan lebih dekat patung-patung tersebut.

“Semangat itu datang akibat minat yang begitu mendalam dan ia sangat menyeronokkan apatah lagi tatkala melihat reaksi para pengunjung yang menyaksikan pameran tersebut,” kata Sklar kepada media.

Rekod dunia

Phil dan Brad sedang dalam proses untuk mencatatkan rekod dunia, The Guinness Book of World Records untuk koleksi-koleksi patung mereka. Rekod yang dipegang pada masa ini ialah sebanyak 2,396 patung bobblehead yang dipegang oleh Phil Darling, seorang jurutera berusia 40 tahun dari Richmond, Ontario. Darling telah menambah sekitar 500 patung bobblehead sejak dia diberikan pengiktirafan pada tahun 2015.

Darling berkata bahawa dia kecewa untuk tidak memegang rekod itu lagi namun dia berharap pada satu hari nanti, dia dapat berkunjung ke muzium tersebut untuk melihat dengan lebih dekat koleksi hebat itu dan bertemu pemilik muzium tersebut, Phil dan Brad.

“Ia dalam perancangan saya seterusnya,” kata Darling kepada media.

Sebuah muzium kecil patung bobblehead dibina di Marlins Park, Miami tetapi hanya mempamerkan sekitar 600 patung bobblehead dan kebanyakannya patung pemain bola lisut, maskot dan juga selebriti.

Phil berkata bahawa dia berharap muzium itu akan menarik lagi lebih ramai peminat patung bobblehead. “Pastinya ia sesuatu yang menyeronokkan untuk melakukan semua ini dan kami sentiasa bersemangat untuk meneruskannya,” tambahnya.

“Terdapat begitu banyak perkara negatif yang berlaku, justeru kita memerlukan lebih banyak tempat untuk mendidik, meluangkan masa, beriadah sambil belajar dan memberikan pendedahan kepada masyarakat,” kata Sklar kepada media. – AP