Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagai kementerian semarak Ilal Hijrah

    Oleh Salawati Haji Yahya dan Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Sempena Tahun Baharu Hijrah 1446, beberapa kementerian telah mengadakan majlis sambutan secara berasingan, hari ini.
     
    Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446 dan Doa Kesyukuran bagi Kepulangan Rombongan Bithah Haji Perubatan dan Jemaah Haji Kementerian Kesihatan bagi Musim Haji 1445H.
     
    Majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan itu merupakan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar dan Jabatan Perkhidmatan Teknologi Penjagaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan. 
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. 
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Ahmad Syuja’iee bin Begawan Mudim Haji Matassim dan kemudian diteruskan dengan penyampaian ceramah agama oleh Pegawai Ugama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Mohammad Nasyith bin Superi yang bertajuk Demi Engkau, Aku Sanggup.
     
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham hadir pada majlis itu. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri majlis di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban bagi menyambut Kepulangan Bithah Haji Perubatan yang terdiri daripada 20 orang pegawai perubatan dan jururawat serta seramai 40 orang jemaah haji warga Kementerian Kesihatan.
     
    Rombongan perubatan haji bagi tahun ini diketuai oleh Pegawai Perubatan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dr Haji Mohammad Athaaillah bin Haji Abdullah, manakala bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dibacakan oleh Awang Ahmad Syuja’iee.
     
    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan. 
     
    Sementara itu, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
     
    Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
     
    Hadir sama, pemangku setiausaha-setiausaha tetap, Pemangku Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya.
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan penyampaian ceramah khas yang bertajuk Barubah atau Baru Bah. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Awal Tahun yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.
     
    Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang bertujuan untuk memperingati dan membesarkan Sambutan Ilal Hijrah, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian ini.
     
    Pada tahun ini, majlis tersebut telah diselenggarakan oleh Bahagian Penyelidikan dan Pengurusan Strategik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
     
    Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat mengadakan majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446H, bertempat di Dewan Serba Guna, KHEDN.
     
    Majlis bertemakan Hijrah dan Cabaran Umat Islam dihadiri oleh tetamu kehormat majlis iaitu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
     
    Majlis diisikan dengan forum bertajuk Hijrah dan Cabaran Umat Islam yang disampaikan oleh tiga orang ahli panel undangan iaitu Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar; Pegawai Ugama, PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang; dan Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, KHEU, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi. Moderator pada forum tersebut ialah Penolong Pensyarah KUPU SB, Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan.
     
    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan penghulu dan ketua kampung, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda