Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Pelbagai kesalahan telah dikesan dalam operasi-operasi sekatan jalan raya yang dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di beberapa lokasi di keempat-empat daerah.
Dalam operasi yang dijalankan di kawasan Jalan Enche Awang, Daerah Tutong, lima kompaun telah dikeluarkan kepada pemandu-pemandu yang telah didapati melanggar akta dan peraturan lalu lintas.
Operasi yang dikendalikan oleh Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong bersama Balai Polis Tutong itu melibatkan seramai 19 orang anggota dengan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani.
Manakala dalam operasi yang dijalankan oleh Balai Polis Lamunin di kawasan Bukit Barun, Jalan Lamunin, Tutong, lima buah kenderaan telah diperiksa kerana didapati melanggar akta kesalahan lalu lintas.
Antara kesalahan yang didapati termasuk kesalahan memasang tabir dan pelekat plastik filem berserta lesen memandu mansuh.
Mengetuai operasi berkenaan ialah Inspektor Muhd Zulfadli bin Haji Awang Yusof, Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin dan melibatkan 12 anggota.
Sementara itu, di Daerah Temburong, tujuh orang anggota Ibu Pejabat Daerah Polis Temburong telah menjalankan operasi sekatan jalan raya di kawasan Jalan Puni, berdekatan Balai Raya Kampung Puni.
Bagaimanapun, operasi yang dijalankan pada sekitar waktu petang itu tidak mengesan sebarang kesalahan lalu lintas mahupun yang melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah.
Sehubungan dengan itu, PDB menasihati para pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dan akur dengan peraturan-peraturan berkaitan lalu lintas yang telah ditetapkan di negara ini.
