BELAIT, 9 JUN – Unit Penguatkuasaan Tabung Amanah Pekerja (TAP) baru-baru ini telah melaksanakan operasi sepadu bersama Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, Cawangan Belait ke atas premis-premis perniagaan di kawasan Daerah Belait.
Operasi tersebut bertujuan menguatkuasakan akta dan peraturan iaitu Akta Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) Penggal 273 dan Akta Pekerjaan, Penggal 278.
Hasil daripada lawatan ke atas 33 premis perniagaan, pegawai-pegawai pemeriksa TAP telah mendapati lima pekerja tempatan belum didaftarkan dan dicarumkan ke dalam SPK.
Sehubungan itu, TAP mengingatkan kepada para majikan untuk menjalankan tanggungjawab mereka mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak iaitu pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat.
Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari dan pekerja di dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 35 (1), akta skim Persaraan Kebangsaan Penggal 273 jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih dari- pada $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih daripada $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Dalam hal ini, proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja telah dipermudahkan melalui perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah.
Sementara itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh Cawangan Daerah Belait telah menjalankan pemeriksaan ke atas tiga premis perniagaan dan mendapati beberapa kesalahan yang dipercayai dilakukan oleh pihak majikan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278.
Pemeriksaan pertama melibatkan sebuah restoran, di mana dua kesalahan telah dikenal pasti iaitu melanggar Bab 64 pekerja diarahkan bekerja pada hari rehat; dan melanggar Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas.
Selain itu, pemeriksaan kedua melibatkan aktiviti perkhidmatan veterinar, dan turut mendapati dua kesalahan.
Kesalahan pertama melanggar Bab 44 iaitu membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan; melanggar Bab 82 iaitu gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas.
Manakala pemeriksaan ketiga melibatkan sebuah premis perniagaan yang menjalankan aktiviti jualan runcit artikel isi rumah lain di kedai khusus. Pemeriksaan ini telah mendapati satu kesalahan di mana majikan melanggar Bab 82 iaitu gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Unit Penguatkuasaan TAP di talian 730 2929 atau melalui e-mel di enforcement@tap.com.bn atau Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja.
Aduan juga boleh dibuat melalui pautan Contact Us di halaman log masuk portal e-Amanah, ataupun melalui inbox akaun ahli setelah ahli melog masuk ke dalam portal e-Amanah.