BELAIT, 24 JUN – Beberapa kesalahan melibatkan pelanggaran hak pekerja telah dikesan semasa pemeriksaan penguatkuasaan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh Cawangan Daerah Belait melalui Operasi Waspada 123/2025 dan Operasi Waspada 124/2025 yang dijalankan di kawasan Mukim Kuala Belait, Kampung Pandan pada 18 Jun lalu.
Operasi yang bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap Akta Pekerjaan, Penggal 278 telah mendapati beberapa pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh majikan di dua buah premis kedai runcit.
Pemeriksaan pertama ke atas sebuah kedai runcit mendapati tiga kesalahan di bawah akta berkenaan iaitu di bawah Bab 39 kerana gagal membayar gaji dan bayaran kerja lebih masa kepada pekerja, Bab 70 kerana gagal memberikan cuti kepada pekerja pada hari kelepasan awam yang diwartakan dan Bab 112 kerana melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing apabila seorang pekerja bergaji buruh didapati menjalankan tugas sebagai juruwang.
Pemeriksaan kedua ke atas premis berasingan turut mengesan tiga lagi kesalahan iaitu di bawah Bab 63 kerana gagal memberikan cuti rehat kepada pekerja, Bab 70 kerana gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan dan Bab 72 kerana gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Jabatan Buruh memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas majikan yang terlibat. Jika disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sehingga $1,000 bagi setiap kesalahan. Kegagalan membayar kompaun boleh mengakibatkan tindakan undang-undang di mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh menegaskan bahawa majikan bertanggungjawab memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara mengikut kehendak Akta Pekerjaan, termasuklah pembayaran gaji tepat pada waktunya, pemberian cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan, cuti tahunan pekerja, serta menanggung kos tiket pulang pekerja selepas tamat kontrak perkhidmatan.



