Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagai koleksi, corak fesyen vintaj

    PARIS – Kurang sebulan sebelum Sukan Olimpik Paris, Louis Vuitton meraikan fesyen rekaan mereka dalam pameran pakaian lelaki bertaraf bintang di Ibu Pejabat Agensi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Paris.

    Peragawan memakai pakaian dalam pelbagai gaya dan berarak di atas rumput bercorak catur Damier ciptaan Vuitton yang memperlihatkan kepelbagaian visual. Berikut adalah beberapa sorotan persembahan Musim Bunga 2025:

    PENGHORMATAN VUITTON KEPADA MANUSIA

    “Ia adalah satu penghormatan kepada manusia,” kata pereka pakaian lelaki Pharrell Williams, yang menggelarnya sebagai fesyen Olimpik Musim Panas, untuk persembahan yang seolah-olah seperti perjalanan merentasi benua dengan latar belakang Menara Eiffel dan cengkerang gergasi.

    “Ia berubah daripada hitam kepada coklat gelap kemudian daripada coklat kepada coklat muda seterusnya kuning air, sedikit kelabu dan diakhiri dengan warna putih,” kata penyanyi yang telah menjadi pereka fesyen itu mengenai persembahan musim bunga.

    Koleksi yang menakjubkan itu menonjolkan ciri-ciri catur dalam rona hijau, biru dan hitam, yang mendapat inspirasi daripada reka bentuk bagasi Air Afrique.

    ATAS & BAWAH : Para model memperagakan sebahagian daripada koleksi Louis Vuitton pada Musim Bunga/Musim Panas 2025, yang dipersembahkan di Paris, Perancis. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Gambar AP

    Syarikat penerbangan itu, yang beroperasi sejak 1960an selama beberapa puluh tahun, telah menjadi simbol kreativiti diaspora, menurut Vuitton.

    Dengan sumbangan daripada pereka kreatif seperti Lamine Diaoune dan Djiby Kebe, Williams menyelitkan koleksi dengan rasa perpaduan global.

    Diilhamkan oleh ibu pejabat kebudayaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Williams meneroka pelbagai arketaip. Diplomat ditonjolkan dalam nada yang mendalam dan kaya dengan jahitan 1970an yang diubah suai.

    ‘The explorer’ muncul dalam pakaian luar yang tegap lagi bergaya, termasuk jaket utiliti. Seorang model melangkah ke pentas rumput catur Damier dengan jaket dan kot yang dihiasi dengan rhinestones dan sulaman mutiara.

    Berlatarkan langit yang dramatik, dengan awan yang berubah-ubah dan bendera dunia yang berkibar, perkembangan warna koleksi mencerminkan kepelbagaian model, beralih daripada rona gelap kepada lebih terang dalam keharmonian pelbagai budaya.

    Tema itu diperluaskan kepada pakaian, yang termasuk corak kulit ular sawa berpiksel dan peta dunia yang berpusat di Afrika.

    Tafsiran semula corak Damier menampilkan bentuk kotak berwarna coklat dengan kepelbagaian warna.

    Reka bentuk padang bola sepak memberi penghormatan kepada sukan kegemaran dunia itu.

    Persembahan fesyen itu kemas dan boleh dipasarkan, menggabungkan kerumitan dengan kesederhanaan yang jelas di tengah-tengah kekayaan diaspora.

    Peta enamel dibenamkan dalam butang, dan logo LV kelihatan timbul secara halus pada bahan. Butiran rumit seperti sulaman hitam dan warna kristal serta mutiara menambahkan lapisan yang moden.

    Di sudut yang lain, reka bentuk berinspirasikan vintaj menggunakan kulit lembut mempunyai corak monogram bersaiz besar dan trim kulit usang.

    Sekali lagi, pereka selebriti itu membuat persembahan yang hampir keseluruhannya menggayakan dengan cermin mata. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda