Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Bagi meraikan ulang tahun ke-50 filem pertama Negara Brunei Darussalam bertajuk Gema Dari Menara (GDM) pada Oktober nanti, pelbagai persiapan telah pun dan sedang dijalankan untuk menyambut pembuatan filem yang pernah ditayangkan pada tahun 1968 ini.
Perjumpaan dan tayangan khas telah diadakan di Pejabat Regalblue Production, Kampung Sungai Hanching semalam dengan kehadiran pelakon utama, Pengiran Haji Abbas bin Pengiran Haji Besar bersama penggiat seni perfileman tanah air.
Ahli jawatankuasa penganjur yang terdiri dari Pengiran Haji Abbas, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Awang Zefri Ariff bin Awang Zain, Pengiran Omarali bin Pengiran Anak Hashim bersama ahli-ahli Persatuan Filem dan Teater Evolusi (FITREE) telah berusaha untuk mendapatkan bahan-bahan dan mengumpulkan mereka yang terlibat dalam pembikinan GDM.
Antara tujuan perjumpaan itu adalah untuk mempromosikan sejarah pertama sektor perfileman di negara ini di samping bertukar-tukar pendapat serta mendapatkan bantuan untuk menyebarkan lagi akan keberadaan filem ini.
Sementara itu, Bendahari FITREE, Dayang Nurain binti Abdullah dalam ucapannya mengalu-alukan orang ramai yang terlibat atau mengetahui saudara-mara, rakan-rakan atau keluarga mereka yang terlibat dalam filem tersebut agar menghubungi ahli Jawatankuasa Penganjur Sambutan Ulang tahun ke-50 Filem GDM atau Persatuan FITREE bagi membantu penyelidikan filem.
“Kami juga menerima segala maklumat dan bahan yang ingin dikongsikan, sama ada berupa gambar-gambar atau maklumat berhubung filem tersebut. Ia adalah untuk kami mengumpulkan sebanyak maklumat dan bahan bukti yang mungkin sebagai persiapan kami menyambut ulang tahun filem ini yang ke-50 tahun pada tahun ini,” ujarnya.
Presiden FITREE, Awang Harlif bin Haji Mohammad pula menyatakan asal kelahiran sejarah perfileman di negara ini perlu dihargai bagi memperingati kejayaan dan perkembangan sektor perfileman di negara ini.
“Filem yang diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam ini tidak banyak didokumentasikan, oleh itu kami selaku penganjur bersama Sambutan Hari Ulang Tahun ke-50 GDM mengalu-alukan sumbangan dan perkongsian orang ramai dalam bentuk maklumat, bahan cetak dan sebagainya,” jelasnya.
Acara pada malam itu dimulakan dengan perkongsian maklumat terkini oleh FITREE mengenai GDM yang boleh didapati di keratan akhbar diikuti dengan tayangan filem GDM dan seterusnya sesi soal jawab bersama pelakon utamanya Pengiran Haji Abbas dan sesi berangkaian bersama penggiat filem tanah air.
Ahli jawatankuasa sambutan dan FITREE juga akan memaklumkan sebarang maklumat terkini mengenai sambutan.