Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagaikan ekonomi untuk capai Wawasan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Negara Brunei Darussalam mencatat kemajuan memberangsangkan dalam usaha mempercepatkan pempelbagaian ekonomi dengan memberi tumpuan kepada sektor bukan minyak dan gas, sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, menjelaskan dalam ucapannya semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara, kelmarin, di Bangunan Dewan Majlis.

    “Sektor bukan minyak dan gas telah menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sejak tahun 2022, berbanding hanya 31 peratus pada tahun 2017”

    Bagi tahun 2024, KDNK negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus, sementara eksport produk bukan minyak dan gas melonjak kepada 60 peratus, berbanding pada tahun 2017 hanya mencatat 11 peratus.

    Katanya lagi, “ini merupakan satu petanda yang sangat positif dan mencerminkan peningkatan signifikan dalam usaha berterusan untuk mempelbagaikan ekonomi negara”.

    Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa antara strategi utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan adalah melalui pelaksanaan Brunei Economic Blueprint, yang saling menyokong blueprint sosial dan tenaga kerja.

    Lima sektor keutamaan telah dikenal pasti sebagai penggerak utama kepada agenda kepelbagaian ekonomi negara Sektor Hiliran Minyak dan Gas yang mana Projek AAA  dijangka mula beroperasi pada tahun 2027, dan ini menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

    Manakala Sektor Industri Makanan pula, Syarikat Jets Sdn Bhd yang menjalankan penternakan udang biru menggunakan tenaga solar dan teknologi kecerdasan buatan (AI), dan menjadikannya pelaburan langsung asing pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

    Sementara Sektor Pelancongan, memperkenalkan program seperti Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) yang terus menyokong perkembangan industri pelancongan domestik dan Antarabangsa.

    Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ialah pelaburan dalam kabel dasar laut untuk menyokong AI dan peluasan liputan 5G yang kini merangkumi 98.7 peratus kawasan berpenduduk, dan Sektor Perkhidmatan Berimpak Tinggi ialah projek fasiliti bersepadu di Pulau Muara Besar oleh Anson Sdn Bhd, yang akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan marin dan dekomisioning industri perkapalan menjelang 2026.

    Melalui pelaksanaan dasar-dasar strategik ini, jelasnya, negara akan terus melangkah ke arah pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.

    Dalam usaha mempercepatkan inisiatif-inisiatif ekonomi, Yang Berhormat Dato turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pandu Special Economic City, yang kini sedang menjalani kajian kebolehlaksanaan sehingga hujung November 2025.

    Jika dilaksanakan dengan teratur, projek ini diyakini berpotensi menjadi game-changer dalam usaha menarik pelaburan asing, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan penyertaan perniagaan tempatan khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Selain mengalu-alukan kerjasama erat semua pihak berkepentingan bagi memastikan kejayaan inisiatif tersebut, sekali gus menyokong pencapaian matlamat pertama dan kedua Wawasan Negara, iaitu pembangunan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran serta peningkatan taraf hidup secara menyeluruh.

     

    YB Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Amin Liew mengongsikan KDNK 2024 telah mencatat eksport produk bukan minyak dan gas melonjak kepada 60 peratus. – GAMBAR RAFI ROSLI.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda