Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Industri kreatif kini semakin berkembang daripada bidang penyiaran seperti radio dan televisyen menjadi wadah utama bagi para artis berkecimpung untuk memberikan konten atau kandungan yang terbaik, bakat-bakat mereka diasah melalui uji bakat di pertandingan kugiran, drama, seni dan sebagainya, kini telah dipelbagaikan kepada platform dalam talian seperti media sosial dan juga beberapa buah platform muzik yang dapat memberikan pulangan kewangan langsung kepada artis.
Industri kreatif juga terbuka kepada seni persembahan, seni visual, reka bentuk, media pengiklanan dan permainan komputer dan bidang itu antara bidang yang perlu diteroka dan digilap melalui pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara kerana industri kreatif memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan inovasi, menyediakan peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan budaya.
Dalam masa yang sama, agensi-agensi kerajaan serta pihak syarikat swasta turut mengadakan aktiviti atau inisiatif tersendiri dalam menyokong dan memperkembangkan industri kreatif.
Itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika menjawab cadangan dan persoalan yang dikemukakan oleh beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengenai industri kreatif dan RTB semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Pehin menerangkan Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), sebagai penyalur utama penyiaran sentiasa komited dalam usaha mempelbagaikan inisiatif mendukung perkembangan industri kreatif, antaranya melalui penganjuran pertandingan bakat seni tempatan, anugerah penghargaan selaras dengan peruntukan kewangan bagi Tahun Kewangan 2025/2026 dan sasaran lapan platform atau pun pertandingan seperti yang digariskan empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Meskipun terdapat cabaran dalam mencapai sasaran bagi tahun 2023 dan 2024, jelasnya, bagi Tahun Kewangan 2024/2025, RTB berjaya melaksanakan sembilan platform atau pun pertandingan melebihi sasaran lapan KPI yang telah ditetapkan, membuktikan keberkesanan perancangan strategik dengan pelaksanaan program yang telah dirangka.
“Jabatan RTB telah mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh dan membuat pembaharuan dan penambahbaikan kepada program flagship yang sedia ada seperti Festival Media Kreatif, Brunei Music Video (Brunei MV), Bintang Harmoni, Anugerah Pelangi, best 91.4 dan Bintang Kecil selain menyediakan pelbagai platform untuk mengetengahkan bakat tempatan menerusi rancangan-rancangan terbitan TV dan radio,” kata Yang Berhormat Pehin.
Pendekatan strategik itu, ulasnya, membolehkan bakat-bakat tempatan mendapat pendedahan yang lebih luas dan berterusan dalam industri penyiaran sekali gus mampu memajukan dan mengembangkan industri kreatif tempatan.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan Jabatan RTB bersetuju dan menyambut baik kenyataan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan bahawa penganjuran satu pertandingan memerlukan kos yang tinggi.
Setiap perancangan penganjuran industri kreatif tempatan diteliti secara menyeluruh dan sistematik setiap tahun bersama pihak-pihak berkepentingan selaras dengan matlamat belanjawan negara dan membangun modal insan yang dinamik dan berwawasan.
Beliau turut menyatakan dalam memajukan industri kreatif daripada pendekatan seluruh kerajaan, bukan hanya melibatkan Jabatan Perdana Menteri tetapi juga kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang turut sama mempelopori dan memperkasakan mana ruang-ruang tertentu khususnya dalam membina keupayaan belia-belia dalam berkecimpung dalam seni kreatif.