Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Di dalam era digital masa kini, pendekatan dakwah perlu dipelbagaikan agar ia tetap signifikan dan menepati golongan sasaran di samping itu, para da’ie juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan agama yang baik, kreatif dan inovatif agar penyampaian dakwah kekal relevan dan dapat menarik lebih ramai orang terutama golongan muda.
Justeru itu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan kerjasama Fakulti Usuluddin menjemput Profesor Dr Ustaz Abdul Somad Batubara selaku Profesor Kunjungan Fakulti Usuluddin bagi menyampaikan kuliah khas bertajuk Seni Pengucapan Umum kepada pelajar-pelajar dari Program Diploma Kebangsaan Da’ie dan Kepimpinan dan Program Diploma Pengajian Islam, UNISSA, baru-baru ini.
Kuliah khas itu telah dihadiri oleh Pemangku Rektor UNISSA, Dr Hajah Lilly Suzanna binti Haji Shamsu; Pemangku Penolong Rektor (Penyelidikan, Antarabangsa dan Penyelidikan), Dr Haji Hambali bin Haji Awang Jaili; Penolong Rektor (Akademik), Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, pensyarah-pensyarah Fakulti Usuluddin serta para pelajar Program Diploma Kebangsaan Daie dan Kepimpinan dan Program Diploma Pengajian Islam UNISSA seramai 28 orang.
Antara objektif utama pengendalian kuliah khas tersebut adalah untuk memberikan kefahaman kepada pelajar tentang konsep, kaedah dan asas ilmu seni pengucapan umum serta kepentingannya bagi seorang da’ie.
Ia juga adalah sebagai satu platform untuk mendedahkan para pelajar akan teori, teknik pengucapan yang menarik dan berkesan disamping melatih para pelajar untuk dapat meningkatkan keyakinan dan kemahiran bertutur sebagai persiapan bekalan bagi menghadapi masyarakat kelak.


