Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelbagaikan sumber rezeki

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Bidang pertanian, perikanan dan penternakan merupakan antara sumber rezeki yang boleh diusahakan, diterokai dan juga diceburi, di mana pertanian merupakan salah satu daripada pekerjaan yang amat digalakkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

    “Baginda Rasulullah SAW mengingatkan perlunya tanah pertanian itu dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah itu dibiarkan dan dibazirkan begitu saja,”

    Perkara tersebut merupakan antara inti pati yang disampaikan oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini, di mana khatib seterusnya menambah bahawa pekerjaan yang baik dan afdal itu ialah pertanian kerana ia merupakan hasil daripada tangan sendiri dan memberi manfaat pada diri sendiri, binatang dan juga kepada umat Islam.

    Khatib berkata dalam Wawasan Brunei 2035, antara salah satu hasrat negara ialah untuk mempelbagaikan ekonomi negara supaya tidak bergantung sepenuhnya daripada keluaran minyak dan gas.

    “Dalam situasi masa kini, di mana isu pengangguran sering dibincangkan dan diperkatakan, maka inilah masanya yang sesuai untuk golongan belia yang masih lagi mencari peluang pekerjaan untuk menyahut seruan raja yang dikasihi ke arah mempelbagaikan sumber ekonomi negara dan mempertimbang untuk menjadikan aktiviti pertanian, perikanan dan penternakan sebagai salah satu sumber rezeki mahu pun bidang pekerjaan”, tambahnya.

    Khatib seterusnya menjelaskan bahawa bidang seperti ini mampu untuk mengurangkan kebergantungan keperluan negara untuk mengimport bahan makanan dari luar negara, sekali gus dapat membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.

    Pada masa ini, jelas khatib lagi, semakin ramai petani dan peladang yang terdiri daripada golongan belia di negara ini yang sudah mula terlibat dalam aktiviti pertanian seperti bertanam padi, sayur-sayuran, buah-buahan dan dalam sektor perikanan.

    Golongan belia ini juga diharap agar terus bersemangat dan tidak mudah putus asa dan perkembangan ini akan menjadi pemangkin dan perangsang kepada lebih banyak lagi golongan belia yang sanggup berkarih, berjarih untuk membantu negara dalam mempelbagaikan keluaran bekalan yang tumbuh dari tanah dan bumi di negara sendiri.

    Khatib dalam khutbahnya te-rus mengingatkan kepada mereka yang telah disediakan tanah-tanah pertanian supaya tidak mengambil kesempatan dan keuntungan melalui jalan yang singkat dengan menyewakan tanah pertanian kepada pihak lain terutama kepada pendatang luar. Ini kerana sikap sedemikian akan merugikan petani dan peladang itu sendiri dan harapan kerajaan dan negara untuk melihat lebih ramai orang tempatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui aktiviti pertanian, perikanan dan penternakan akan kecundang dan tidak akan kesampaian.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda