Wednesday, February 12, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peledak bom paip kena 30 tahun penjara

    TAIPEI, 22 Feb – Seorang lelaki Taiwan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun hari ini kerana meledakkan bom paip di kereta api Taipei sibuk yang telah mencederakan lebih dua dozen orang tahun lalu.

    Lin Ying-chang, 56 tahun, disabitkan dengan kesalahan cubaan membunuh dan membuat bahan letupan tanpa kebenaran berhubung letupan Julai 2016, yang menurut mahkamah daerah Taipei adalah cubaan berani mati yang gagal.

    Letupan itu telah mencederakan 24 orang apabila ia berlaku dalam kereta api ketika ia memasuki stesen.

    “Defendan telah meledakkan bahan letupan dengan matlamat membunuh diri, dan juga membalas dendam ke atas masyarakat dengan cara membunuh orang yang tidak bersalah. Motifnya adalah berniat jahat, menurut kenyataan mahkamah.

    Gambar fail menunjukkan anggota keselamatan ketika mengawal insiden pengeboman tersebut. – AFP
    Gambar fail menunjukkan anggota keselamatan ketika mengawal insiden pengeboman tersebut. – AFP

    Lin, yang berhak untuk merayu perintah itu, juga tercedera dalam letupan itu.

    Dia memberitahu mahkamah, dia telah dalam kepayahan mencari pekerjaan selepas disahkan menghidap barah dan akhirnya tinggal di dalam kereta. Hubungan dengan keluarganya juga menjadi tidak baik.

    Namun Lin percaya ‘masyarakat seharusnya bertanggung jawab ke atasnya,’ menurut kenyataan mahkamah.

    Serangan besar terakhir ke atas transit awam Taipei adalah apabila seorang pelajar kolej membunuh empat orang dalam penikaman pada tahun 2014 di metro, yang mengejutkan pulau itu dan mengakibatkan membaik pulih kawalan keselamatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda