Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Negara Brunei Darussalam memperkenalkan penggunaan dua pelekat khas kenderaan berpendaftaran luar negara iaitu pelekat Pelawat dan Komersial dalam usaha mengawal kenderaan-kende-raan luar negara yang berada di negara ini semasa pandemik COVID-19, berkuat kuasa 1 Oktober.
Pelekat Pelawat adalah bagi mengenal pasti kenderaan yang mendapat kebenaran dari Jabatan Kastam dan Eksesais Diraja (JKED) yang menetap di negara ini, manakala pelekat Komersial pula adalah bagi kenderaan berpendaftaran luar negara yang mendapat kebenaran memasuki negara ini bagi tujuan pengangkutan barangan pertanian, agrimakanan dan perikanan dengan kebenaran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Pengenalan pelekat khas kenderaan luar negara itu dikongsikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Menurutnya lagi, penggunaan pelekat akan diberi tempoh tangguh (grace period) dua minggu dengan permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih TransportBN versi Android dan IOS tersedia dalam masa terdekat ini.
Permohonan juga boleh dibuat melalui laman sesawang Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) iaitu www.jpd.gov.bn yang akan mengambil masa tiga hari dengan kadar bayaran bagi setiap pelekat pas kenderaan luar negara sebanyak $30 untuk setiap kenderaan bagi tempoh tiga bulan.

Pelekat-pelekat pas kenderaan luar negara ini boleh diambil di kaunter-kaunter yang dikhaskan di Kompleks Latihan dan Ujian Memandu Litar, JPD, Sungai Akar, Bandar Seri Begawan.
“Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui agensi-agensi penguatkuasaan, dengan nasihat dan arahan dari Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang tidak mematuhi peraturan berkenaan tegasnya.
Katanya lagi, “Menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 3 204) yang mana jika didapati bersalah boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.”
Ia juga menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) jika didapati mana-mana individu membuat dokumen palsu atau sebahagian daripadanya, tambahnya.
Menurutnya lagi, aduan orang ramai mengenai mana-mana kenderaan asing yang tidak mempunyai Pelekat Pas Kenderaan dan didapati membuat perhentian atau persinggahan semasa berada di negara ini boleh diajukan ke talian kecemasan pihak Pasukan Polis Diraja Brunei 993 untuk siasatan dan tindakan yang bersesuaian.
MTIC dan agensi-agensi di bawahnya memohon kerjasama semua pihak untuk sentiasa memberikan kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab sosial bagi menyokong usaha Kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 mengikut garis panduan dan nasihat Kementerian Kesihatan.