Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 27 Dis – Seorang penduduk di Jalan Teripas RPN Panaga yang merasa terkejut melihat seekor ular melingkar di sebatang pokok kelapanya, semasa memotong rumput dengan tiba-tiba telah melibas ‘haiwan’ tersebut menggunakan mesin namun ternyata ia bukanlah ular seperti disangkanya, tetapi pelepah pokok terbabit yang berbentuk pelik.
Awang Mohamad bin Haji Ali Aziz, 50, semasa ditemui Media Permata hari ini, memberitahu, dia baru menyedari keganjilan yang terdapat pada pokok kelapanya semasa memotong rumput dan membersihkan daun-daun liar yang menjalar di pokok-pokok kelapanya beberapa hari lalu di kawasan belakang rumahnya itu.
Beliau yang melihat keganjilan pada pokok tersebut turut meminta pandangan rakan-rakannya dengan menunjukkan kepada mereka pokok kelapa yang pelepahnya melingkar itu hanya setinggi kurang satu kaki.
Bagi pokok kelapa biasa, pelepahnya berbentuk daun yang lurus, tetapi pokok yang dimilikinya itu mempunyai bentuk ganjil seperti seekor ular sedang melingkar di pokok itu malah hampir ada di kesemua dahan daun pokok terbabit.
“Semasa saya memotong rumput, sambil hendak membersihkan daun-daun liar yang melilit di batang pokok itu, saya terkejut melihat lingkaran pelepah daun seperti seekor ular dan melibasnya menggunakan mesin rumput tetapi saya dapati ianya keras, kemudian baru menyedari sebenarnya ia adalah pelepah daun pokok kelapa itu,” katanya.


Awang Mohammad yang sudah lama menetap di kediamannya itu sejak tahun 2012 telah menanam lima pokok kelapa jenis rendah yang benih buahnya dikutip dari kawasan Padang Arena Seria. Menurutnya sebelum ini dia sering memotong pelepah-pelepah daun pokok yang nampak kering.
Pelepah tersebut di samping berbentuk seperti ular, ia turut mengeluarkan daun-daun yang kerinting dan terikat rapat di bahagian hujung seperti dianyam.
Beliau tidak berhasrat untuk memotong pokok itu, tetapi mahu membiarkannya dan ingin melihat apakah seterusnya akan berlaku kepada bentuknya yang ganjil itu.
“Sepanjang hayat saya, itulah kali pertama saya melihat pelepah berbentuk seperti itu dan saya akan tetap menjaga pokok berkenaan dengan tidak menganggap perkara yang bukan-bukan mengenai keganjilan bentuknya,” katanya yang turut diakui oleh rakan-rakannya.