BERLIN, 4 JAN – Pelepasan karbon dioksida (CO2) Jerman mencecah tahap terendah dalam tempoh 70 tahun, ketika ekonomi terbesar Eropah itu berjaya mengurangkan kebergantungan ke atas arang batu lebih cepat daripada yang dijangkakan, menurut satu kajian yang diterbitkan hari ini.
Ekonomi terbesar Eropah itu mengeluarkan 673 juta tan gas rumah hijau tahun lepas, 73 juta tan lebih rendah berbanding pada 2022, menurut badan pemikir tenaga, Agora Energiewende.
Angka itu berada pada tahap paling rendah ‘sejak 1950an’, kata Agora dalam satu kenyataan, sambil mengingatkan Jerman perlu melakukan lebih untuk mengurangkan lagi pelepasannya.
Penurunan itu “sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan kukuh dalam penjanaan kuasa arang batu”, kata Agora.
Jerman telah menggunakan bahan api tersebut berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, apabila Moscow memutuskan bekalan gas kepada gergasi Eropah itu.
Tetapi sejak itu, Jerman telah mengurangkan penggunaan bahan api fosil dengan ketara.
Penjanaan elektrik daripada sumber boleh diperbaharui adalah lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pada 2023 buat kali pertama, manakala bahagian arang batu turun kepada 26 peratus daripada 34 peratus, menurut agensi rangkaian persekutuan itu.
Pemotongan penggunaan arang batu menyumbang pengurangan sebanyak 46 juta tan dalam pelepasan CO2, kata badan pemikir itu.
Pada masa yang sama, pelepasan industri menurun sebanyak 20 juta tan, apabila pengeluaran dalam industri intensif tenaga menurun mendadak. – AFP
