Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam dan Pelepasan Ekspedisi 79 Orang Pembawa Bendera Kecil Negara Brunei Darussalam bagi Tahun 2025 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang ke-79 bagi Peringkat Daerah Brunei dan Muara telah berlangsung di pintu masuk The Mall Gadong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Kampung Kawasan 5, Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan, Haji Hamidi bin Haji Abdul Wahid.
Setelah itu, majlis diteruskan dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada ahli-ahli Jawatankuasa Perayaan Daerah Brunei dan Muara, diikuti dengan pengagihan bendera-bendera dan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada Pengiran Haji Qahar bin Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basith selaku ketua ekspedisi dan para peserta ekspedisi, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara serta ahli-ahli Jawatankuasa Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang ke-79 bagi Tahun 2025 Peringkat Daerah Brunei dan Muara.






