LONDON, 18 MAC – Operasi pemulihan semula sedang dijalankan selepas pelet plastik, berkemungkinan tumpah dalam nahas antara kapal kargo dan kapal tangki di luar pantai England, membentuk ‘kilauan’ di laut, kata pengawal pantai Britain kelmarin.
Perkhidmatan bot penyelamat United Kingdom melaporkan Ahad lalu telah melihat kilauan yang kini dikenali sebagai nurdles plastik berhampiran dengan Wash, sebuah teluk besar di pantai timur England, sekitar 70 kilometer ke selatan lokasi nahas minggu lalu, menurut pengawal pantai.
Nurdles ialah pelet satu hingga lima milimeter resin plastik yang digunakan dalam pengeluaran plastik. Ia tidak toksik tetapi boleh merosakkan hidupan liar jika tertelan.
“Beberapa nurdles kini juga telah dikenal pasti di pantai,” kata Ketua Pengawal Pantai, Paddy O’Callaghan.
“Penemuan semula telah bermula hari ini. Ia merupakan keadaan yang sedang berkembang dan Setiausaha Pengangkutan terus dikemas kini secara berkala,” tambahnya.
Nurdles itu mungkin memasuki air selepas perlanggaran, tambah pengawal pantai.
Pengurus rizab alam semula jadi, Titchwell di Norfolk, berkata kelmarin nurdles telah muncul di kawasan yang menjadi rumah kepada spesies burung yang jarang ditemui dan terancam.
“Pada masa ini pencemaran berada pada garis pasang surut, tetapi kami hanya mempunyai beberapa hari untuk mengeluarkannya dari pantai sebelum air pasang menyuraikan serpihan dan ia dihanyutkan kembali ke laut dan ke dalam rantaian makanan,” kata Steve Rowland dalam satu kenyataan. – AFP
