Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) pagi tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ceramah Khas Sempena Ilal Hijrah bertempat di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Pesuruhjaya Polis, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku Yang Di-Pertua PEKERTI. Turut hadir ialah isteri Timbalan Pesuruhjaya Polis, Datin Sabrina binti Abdullah Chong selaku Pengerusi PEKERTI.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Dayang Norerny binti Emran dan diterus-kan dengan bacaan Doa Kesyukuran.
Majlis diselajurkan dengan ceramah khas sempena Ilal Hijrah Tahun 1446 yang disampaikan oleh Dayang Siti Junaidah binti Haji Bujang.
Ceramah tersebut mengingatkan setiap umat Islam tentang pentingnya memelihara agama bagi kesejahteraan negara.

Ia sangat bertepatan dalam melahirkan kehidupan terbaik sekali gus akan menyumbang kepada kesejahteraan negara. Dalam ceramah tersebut, beliau juga menyentuh mengenai Ilal Hijrah yang juga mengingatkan supaya melakukan penghijrahan kepada yang terbaik, terutama dalam mengingati Allah, amalan terbaik ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah.
Menurutnya lagi dengan pendekatan bersabar, berikhtiar, bertawakal dan berdoa dalam menangani sesuatu perkara adalah yang terbaik terutama dalam menempuh suasana dunia yang penuh dengan ujian ini.
Majlis tersebut diadakan adalah bagi melahirkan rasa kesyukuran atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan seterusnya memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda Sultan sentiasa dilimpahi rahmat, sihat walafiat dan dilanjutkan usia dengan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja mendapat hidayah serta inayah daripada Allah SWT.
Majlis dikendalikan oleh Badan Didikan PEKERTI yang dipengerusikan oleh Hajah Annisah binti Haji Bahar. Turut hadir di majlis tersebut ialah AJKT PEKERTI dan ahli-ahli dari ketujuh-tujuh cawangan PEKERTI.