Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Pelihara aurat dan sembahyang ketika bersukan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Kesihatan yang baik merupakan impian setiap orang. Tanpa nikmat kesihatan yang baik, sukar bagi seseorang itu menjalani kehidupan sehariannya dengan baik dan sempurna.

    Kerana itulah Islam mengambil perhatian yang berat tentang kesihatan seseorang.

    Waktu sihat merupakan satu waktu yang sangat tinggi nilainya dalam kehidupan seorang manusia apatah lagi bagi seorang muslim yang dituntut supaya memanfaatkan waktu sihat sesempurna mungkin.

    Adalah dimaklumi bahawa melakukan aktiviti olahraga fizikal, seperti bersukan dan bersenam, merupakan antara cara terbaik bagi memelihara dan meningkatkan kesihatan fizikal dan mental.

    Zaman sekarang ini, kesedaran tentang perkara ini mendorong ramai orang daripada pelbagai golongan untuk menggiatkan aktiviti bersukan.

    Ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif kerana umat yang gagah, sihat dan kuat dapat menyumbang ke arah pembangunan sebuah negara.

    Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memelihara kesihatan dan meningkatkan kekuatan tubuh badan serta ketajaman akal.

    Kerana itu Islam menggalakkan aktiviti-aktiviti riadah yang mampu meningkatkan kemampuan fizikal dan mental.

    Sebagai contoh, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan qudwah (ikutan) yang terbaik mengenai aktiviti riadah.

    Dalam kitab-kitab hadits dan sirah, banyak riwayat yang menyatakan bahawa Baginda menganjurkan sukan-sukan yang berbentuk olahraga, pertahanan diri dan ketenteraan seperti berlumba lari, berenang, memanah, menunggang kuda, beradu senjata dan sebagainya.

    Sukan-sukan seperti ini dianjurkan kerana selain daripada membantu memelihara dan meningkatkan kesihatan, ia juga mampu menguatkan fizikal, meningkatkan kemahiran serta mengukuhkan kekuatan pertahanan umat Islam.

    Bahkan hukumnya boleh menjadi sunat atau fardu kifayah sekiranya dibuat atas tujuan persediaan menghadapi musuh atau pertahanan.

    Selain itu, sukan atau permainan yang menajamkan fikiran dan akal juga dianjurkan di sisi Islam.

    Walau bagaimanapun, Islam tidak sekali-kali membiarkan umatnya melakukan sesuatu perkara tanpa memberikan sebarang bimbingan, garis pandu atau batasan.

    Maka kerana itulah, tiap sesuatu itu ada batasannya yang perlu dijaga dan diperhatikan, termasuk juga dalam perkara bersukan.

    Walaupun bersukan itu pada dasarnya adalah harus, sama ada ia dilakukan untuk memelihara kesihatan atau sekadar mengisi masa lapang, namun ia boleh menjadi tertegah bahkan haram dalam keadaan-keadaan tertentu jika ia bertentangan dengan hukum, ajaran, tatacara, syariat dan adab-adab Islam.

    Antara perkara yang bertentangan dengan hukum dan ajaran Islam ialah:

    1. Melalaikan daripada mengingati dan menunaikan kewajipan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti kewajipan sembahyang lima waktu

    Terlalu obses dan asyik melakukan aktiviti sukan sehingga membelakangkan dan mencuaikan tuntutan kewajipan sebagai seorang muslim, ini tidak syak lagi menjerumuskan pelakunya ke lembah dosa.

    Antara kewajipan yang paling mudah seseorang itu terlalai daripadanya dalam keasyikan bersukan ialah ibadat yang paling utama iaitu ibadat sembahyang fardhu yang lima.

    Akibat terlalu asyik bersukan, berkemungkinan ibadat sembahyang akan tertinggal, atau tidak ditunaikan dengan sempurna, atau dilambatkan ke akhir waktu kerana terlalu ‘gagas’ atau ‘iski’ hendak bersukan ataupun susah berhenti daripada melakukan aktiviti sukan tersebut.

    Perlu diketahui bahawa ibadat sembahyang adalah ibadat yang paling awal sekali dihisab di akhirat kelak, jika ibadat sembahyangnya tidak sempurna, maka celakalah ia.

    Tamim ad-Dari Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Adapun yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan seorang hamba pada hari qiamat ialah tentang sembahyangnya…” (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad dan ad-Darimi)

    Dari itu, ketika bersukan hendaklah diperhatikan kesesuaian waktu, tempat, keadaan dan sebagainya. Elakkan dari melakukan aktiviti sukan pada waktu, tempat dan keadaan yang akan menyukarkan dari mengerjakan kewajipan sembahyang.

    Kesimpulannya, apa jua permainan yang menyebabkan tertinggal tuntutan wajib dalam agama adalah haram dan wajib dijauhi.

    2. Tidak menutup aurat

    Aurat merupakan satu mahkota kehormatan tidak kira bagi perempuan mahupun lelaki.

    Dari itu ia wajib dijaga bukan sahaja ketika mengerjakan sembahyang, bahkan ia wajib dijaga pada bila-bila masa termasuk dalam rumah sekalipun.

    Tingginya nilai menjaga aurat itu sehinggakan apabila seseorang itu menutup aurat dengan sempurna, identitinya sebagai seorang Islam pasti terserlah dan dipandang mulia dan hormat.

    Aurat merupakan suatu aib dan suatu yang memalukan. Jadi orang yang sihat perasaannya, sempurna akhlaknya dan waras akal fikirannya secara fitrah dan semula jadinya pasti akan menjaga auratnya dengan sempurna dan pasti akan segera menutupinya dengan apa jua cara sekalipun sekiranya auratnya itu terdedah.

    Menurut syara‘, hukum menutup aurat itu adalah wajib, dan mendedahkannya pula adalah haram dan merupakan satu dosa besar berdasarkan nash al-Quran, hadits dan ijma‘ umat Islam.

    Ini kerana mendedahkan aurat menyebabkan orang itu sentiasa dalam laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sentiasa dalam dosa selagimana dia belum bertaubat, belum menyesali dan belum berniat untuk meninggalkan perbuatan tersebut.

    Bagi lelaki auratnya ialah di antara pusat dengan lutut, manakala bagi perempuan pula ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya.

    Namun harus diingat bahawa pa-kaian yang jarang, nipis atau ketat se-hingga menampakkan warna kulit atau susuk tubuh adalah juga ditegah dan tidak memadai walaupun pada zahirnya ia seolah-olah menutup bahagian aurat.

    Khusus dalam perkara bersukan, tidak ada kelonggaran syara‘ dalam hal menutup aurat di antara sesama lelaki ataupun sesama perempuan.

    Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Janganlah seorang lelaki memandang akan aurat seorang lelaki (yang lain) dan janganlah seorang perempuan (memandang) akan aurat seorang perempuan (yang lain).” (Hadis riwayat Imam Muslim)

    Daripada Mu‘awiyah bin Haidah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Jagalah auratmu kecuali daripada isterimu atau hamba-hamba perempuan yang engkau miliki”.

    (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

    Dari itu, ketika bersukan hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian, menutup aurat, tidak nipis, tidak jarang, tidak ketat, tidak menjolok mata dan tidak menimbulkan fitnah.

    Selain memastikan aurat dijaga dengan sempurna, wajib juga menjaga syarat-syarat lain yang telah digariskan oleh syara’ dalam hal berpakaian seperti tidak menyerupai pakaian lawan jenisnya, tidak menyerupai pakaian orang kafir, tidak memakai pakaian yang mempunyai gambar, lambang atau unsur yang bertentangan dengan syariat Islam seperti lambang salib, minuman keras dan sebagainya, dan lain-lain syarat atau kreteria yang telah ditetapkan oleh Islam dalam hal berpakaian.

    Dari itu, apa saja jenis sukan yang mensyaratkan untuk memakai pakaian yang tidak memenuhi kehendak syara‘ apatah lagi bertentangan dengannya adalah wajib ditinggalkan.

    Demikian antara beberapa batasan yang perlu dijaga tatkala melakukan aktiviti sukan.

    Ringkasnya, segala jenis sukan atau permainan yang boleh menyebabkan tertinggalnya tuntutan wajib dalam ugama, seperti sembahyang fardhu dan lain-lain adalah haram.

    Begitu juga jika sampai menyebabkan terabainya segala hak dan kewajipan yang wajib ditunaikan.

    Ia juga menjadi haram apabila terdapat dalam sukan tersebut unsur-unsur maksiat, syirik dan seumpamanya, atau pelaku tersebut sendiri yang melanggar batasan syara‘ seperti membuka aurat dan sebagainya.

    Maka sebagai sebuah negara zikir yang umatnya sentiasa mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala sepanjang masa, dan mentaati segala suruhan serta menjauhi segala laranganNya, konsep ‘zikir dalam sukan’ ini perlu dilestarikan oleh semua peringkat serta golongan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...