Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda menekankan akan pentingnya untuk memastikan kesinambungan ‘momentum’ pelaksanaan persediaan-persediaan yang diperlukan serta terus memantapkan dedikasi serta komitmen khususnya daripada setiap Jawatankuasa Sektoral Sambutan Jubli Emas.
Duli Yang Teramat Mulia bersabda demikian semasa berkenan berangkat ke Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta kali ke-4, yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.
Duli Yang Teramat Mulia selaku Penaung Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas seterusnya bersabda menyarankan agar persediaan-persediaan berkenaan untuk siap diselenggarakan pada penghujung bulan Ogos nanti.
Pada mesyuarat itu juga, Duli Pengiran Muda Makhota berkenan mengongsikan titah-titah Baginda Sultan terhadap perkara-perkara berkaitan dari mesyuarat kali ketiga jawatankuasa tertinggi sambutan yang antaranya ialah mengenai dengan tempoh Istiadat Gendang Jaga-jaga Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Duli Yang Teramat Mulia juga menyentuh titah perkenan Baginda Sultan mengenai cadangan tarikh-tarikh perasmian dan juga penamaan beberapa prasarana-prasarana.


Acara-acara utama bagi Sambutan Jubli Emas itu nanti, tambah Duli Yang Teramat Mulia, perlulah mempunyai tarikan-tarikan yang akan membangkitkan semangat orang ramai untuk terlibat sama dan menghadirkan diri bagi menyemarakkan lagi acara-acara sambutan khususnya dalam acara-acara utama.
Di sini, sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi, pemberigaan bagi Sambutan Jubli Emas perlulah dibuat secara meluas dalam waktu yang terdekat iaitu sebaiknya selepas Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke 71 tahun, selaras dengan hasrat untuk memberigakan kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini termasuklah dunia luar akan berlangsungnya satu lagi acara yang penuh bermakna serta signifikan dalam sejarah kesultanan Negara Brunei Darussalam.
Pemberigaan yang bersesuaian, jelas Duli Yang Teramat Mulia, samada dalam bentuk tradisional mahupun media baharu, diharap akan dapat memupuk patriotisme dan membangkitkan semangat keraian Sambutan Jubli Emas tersebut.
Dalam pada itu, rakyat dan penduduk diseru untuk menjaga dan mempamerkan imej yang baik sepanjang Sambutan Jubli Emas itu nanti kerana negara akan menjangkakan kehadiran tetamu-tetamu khas serta pelawat-pelawat dari luar negara.
Imej yang baik amat penting bagi memberikan kenangan yang manis dan membawa pulang satu ristaan yang baik buat negara.
Mesyuarat jawatankuasa tertinggi kali ini juga telah membincangkan persiapan sambutan di daerah-daerah.
Terdahulu, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, selaku ahli Jawatankuasa Penasihat Sambutan Jubli Emas.
Turut menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia ialah Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz;
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim;
Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha.
Mesyuarat didahului dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal, ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas.
Mesyuarat diteruskan dengan sembah alu-aluan daripada Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.