Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelihara keharmonian, elak huru hara

    Oleh Erda Khursyiah Basir

    KUALA LUMPUR – “Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke, kita semua orang Malaysia kan?” Dialog Susan Lankester dalam filem Mekanik itu bukan sahaja menjadi ikutan segenap lapisan masyarakat sejak ditayangkan pada 1983, malah diguna semula dalam beberapa drama mahupun filem termasuklah rancangan berunsur komedi sehingga ke hari ini.

    Pelakon, juga pengarah kacukan Inggeris dan Cina yang fasih berbahasa Melayu itu juga turut berkongsi dialog berkenaan di laman sosial Twitter miliknya. Nampak ringkas tetapi jika diteliti, makna yang tersirat amat mendalam. Walau berbeza warna kulit, bangsa, agama dan budaya, kita semua adalah satu – kita tetap rakyat Malaysia.

    Perhimpunan solidariti kedamaian susulan serangan dua masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini, bertujuan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia menolak kebencian.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan mengetuai perhimpunan yang dijangka disertai para pemimpin pelbagai agama, sekali gus menterjemahkan kesatuan rakyat negara ini yang berbeza kaum. Malaysia memang unik kerana terdiri daripada masyarakat rencam yang kaya dengan adat, budaya dan pegangan masing-masing namun hidup saling menghormati.

    Hidup bermasyarakat

    Berpuluh-puluh tahun kita hidup bersama. Di kedai mamak, pelanggan berbilang bangsa duduk semeja dan berkongsi kisah sambil menikmati roti canai atau tose. Nasi lemak menjadi kegemaran orang Cina dan India manakala peniaga Cina membuka perniagaan makanan halal.

    Kerukunan hidup masyarakat majmuk mencerminkan betapa negara mencapai ke suatu tahap yang tinggi kerana mampu membentuk budaya saling hormat-menghormati biarpun rakyat berbeza latar belakang. – Agensi
    Perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk New Zealand setelah berlakunya serangan di Masjid Al-Noor. – AFP
    Boleh disimpulkan, majoriti masyarakat gembira, berlapang dada dan hidup harmoni, bertolak ansur kerana setiap anggota masyarakat tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing. – Agensi

    Masing-masing meraikan perbezaan yang ada, saling hormat-menghormati antara Melayu, Cina, India serta pelbagai etnik lain di seluruh negara.

    Itulah ‘rencah’ yang mengindahkan kehidupan bumi bertuah ini. Sama-sama meraikan Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan perayaan lain dalam suasana muhibah, saling bertukar ucapan dan kunjung-mengunjung bagi mengeratkan silaturahim.

    Daripada itu berlaku asimilasi budaya umpamanya, masyarakat Melayu menggunakan istilah ‘angpau’ bagi duit raya dan pemilihan tema ‘bollywood’ untuk malam berinai pengantin.

    Boleh disimpulkan, majoriti masyarakat gembira, berlapang dada dan hidup harmoni, bertolak ansur kerana setiap anggota masyarakat tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing.

    Cabaran-cabaran

    Tidak dinafikan ada kalanya timbul ‘salah faham’ namun tidaklah sehingga melarat kepada perpecahan. Cuma akhir-akhir ini, terdapat segelintir pihak yang dilihat sengaja mencetuskan konflik sekali gus membangkitkan rasa kurang senang. Sikap keterlaluan itu bahkan semakin menjadi-jadi.

    Insiden menghina Yang di-Pertuan Agong, agama, adat dan budaya kaum lain bagaikan sengaja diada-adakan bagi mencetuskan kemarahan dan suasana tegang antara kaum.

    Seorang peniaga ditahan setelah didakwa meninggalkan komen menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook (FB). Lelaki berusia 46 tahun dari Kuantan itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

    Insiden patung berhala diletakkan di Surau Sabilul Huda mengejutkan penduduk Taman Pendamar Indah, Klang, pada Februari lepas. Kejadian yang berulang sebanyak dua kali itu dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab. Dalam kes lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menfailkan pertuduhan terhadap empat pemilik akaun media sosial kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W, dengan seorang daripada mereka dijatuhi hukuman penjara.

    Pada 11 Mac, seorang penganggur dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan sama. Terbaru pada 12 Mac, PDRM menangkap seorang pemilik akaun FB kerana dipercayai memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu.

    Suspek berusia 52 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

    Isu yang berbangkit

    Sambutan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini turut dicemari oleh perarakan yang membawa isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), diadakan di Dataran Merdeka, pada 9 Mac lepas. Dikecam pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan agamawan, perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak polis itu disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam, melanggar norma undang-undang dan budaya masyarakat Malaysia.

    Mengapa perlu bersifat provokatif dan sengaja mencabar peruntukan undang-undang sedia ada? Apakah yang ingin dibuktikan? Tindakan sebegitu berpotensi membuka ruang kepada masalah lain yang lebih serius seterusnya menyebabkan berlaku huru-hara dalam masyarakat.

    Biarpun ramai yang marah dan mahu tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang terlibat, ada juga yang mengaitkannya dengan hak serta kebebasan bersuara. Persoalannya, adakah kebebasan yang diberi bermakna rakyat bebas melakukan apa sahaja dan menyuarakan pandangan meskipun bakal mengundang implikasi negatif? Ruang dan kebebasan bersuara tidak bermakna kita boleh bersuara tanpa batasan.

    Analisis politik

    Memetik penganalisis politik yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dalam laporan Bernama sebelum ini, beliau berkata terdapat pihak yang terlepas pandang akan kebebasan bersuara dan berekspresi yang termaktub dalam perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang sebenarnya mempunyai had tertentu.

    Kerajaan boleh menyekat kebebasan bersuara atas faktor demi keselamatan negara, hubungan baik dengan negara lain, menjaga ketenteraman awam dan kepentingan moral, melindungi keistimewaan Parlimen, menentang penghinaan mahkamah, fitnah dan perlakuan jenayah. Ini termasuklah ‘sekatan’ sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

    Situasi yang mencabar 

    Dalam situasi yang serba mencabar hari ini, setiap orang perlu mengawal diri daripada mengundang sesuatu yang boleh mencetuskan perbalahan dan suasana tidak harmoni masyarakat. Sepertimana kita tidak suka diri, keluarga, bangsa dan agama diperkotak-katik oleh orang lain, kita juga perlu menghormati antara satu sama lain.

    Kerukunan hidup masyarakat majmuk mencerminkan betapa negara mencapai ke suatu tahap yang tinggi kerana mampu membentuk budaya saling hormat-menghormati biarpun rakyat berbeza latar belakang.

    Ruang dan kebebasan melontar pandangan yang diberi wajar dimanfaatkan untuk perkara positif yang boleh membina bangsa dan negara, bukan menjadikan masyarakat semakin terkebelakang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda