Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu, masalah kesihatan mental bukan bermakna gila atau kurang siuman.
“Kesihatan mental adalah cara manusia berfikir, merasa, berkelakuan dan berinteraksi dengan orang lain”, perkara ini ditegaskan oleh Khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Memelihara Kesihatan Akal, hari ini.
Katanya lagi, “kesihatan mental amat penting diberikan perhatian, lazimnya seseorang yang sihat mentalnya akan sentiasa menunjukkan sifat positif seperti mudah bergaul, beramah mesra, berkeyakinan tinggi, bijak mengurus dan berupaya mengendalikan sesuatu masalah secara bijaksana.
“Jika sebaliknya, gangguan mental menyebabkan seseorang merasa resah, murung, celaru, gugup, cemas, takut, tertekan dan sebagainya yang mengakibatkan berlakunya perubahan sikap seperti berdiam diri, enggan bergaul, mudah marah, hilang tumpuan serta hilang kewarasan.
“Jika perkara ini tidak dibendung atau dirawat, gangguan mental boleh membawa kepada tindakan lebih buruk sehingga melakukan perbuatan yang mencederakan ahli keluarga, orang sekeliling, malah menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.”
Khatib turut mengongsikan punca-punca yang mendorong berlaku gangguan mental ialah masalah sosio ekonomi, kesempitan dan beban hidup, mengalami pengalaman buruk, terdedah kepada suasana dan persekitaran hidup yang tidak bersih dan tidak sihat.
Selain itu, terpinggir daripada sokongan keluarga, tekanan di tempat kerja, pengambilan minuman keras serta ketagihan dadah, tabiat makan yang buruk dan kurang melibatkan diri dalam kegiatan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Menurut Islam, jelas Khatib lagi, kesihatan dapat dipelihara dengan baik jika mengamalkan tabiat hidup yang telah diatur dengan baik menurut ketetapan dan kehendak syarak iaitu maqashid syariah.
“Kesihatan akan terpelihara jika manusia mengamalkan budaya hidup yang dapat membantu membangunkan minda dan tubuh yang sihat melalui menjaga makan minum dengan hanya makan yang seimbang, tidur dan waktu rehat yang cukup, beriadah serta memiliki tingkah laku yang baik.
Segala permasalahan perlu dikongsi dengan pihak lain seperti ibu bapa atau mereka yang boleh dipercayai, agar masalah tidak menjadi tekanan kepada diri sendiri seterusnya boleh mendorong kepada kejadian yang tidak diingini.”
Khatib dalam khutbahnya turut mengingatkan, menjaga kesihatan dalam Islam bukan sekadar luaran sahaja, tetapi dalaman (rohani) juga harus dititikberatkan.
“Jiwa yang tidak diisi dengan ilmu yang berfaedah akan terasa kosong dan akhirnya akan mencari sesuatu yang tidak baik sebagai mengisi kekosongan dalamannya,” tegasnya.
Sehubungan itu, memperbanyakkan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah seperti dengan membaca Al-Quran, berzikir, menunaikan sembahyang sunat, bermunajat, berpuasa, bersedekah dan berdoa memohon pertolongan yang maha esa.
“Dengan mengingati Allah, hati akan dipenuhi ketenangan dan pasrah kepada segala ketentuan dan ketetapannya,” tambahnya.
Selain itu, jelas Khatib lagi, apabila ditimpa masalah, selalu bersangka baik dengan Allah kerana ujian yang menimpa bertujuan untuk menguji keimanan dan pergantungan kepada Allah serta percaya ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian.
Tekanan dan beban hidup seseorang, jelas Khatib, boleh dikurangkan jika masyarakat mengamalkan sifat ihsan yang bersedia membantu meringankan beban orang lain.
Khatib dalam khutbahnya turut memberi contoh iaitu isteri yang baru melahirkan anak memerlukan tempoh masa untuk kembali sihat secara mental, emosi dan fizikal.
Ketika itulah, jelas Khatib, para suami dan ahli keluarga sepatutnya tampil mempermudahkan segala urusan terutama keperluan ibu dan anak.
“Anak-anak tidak boleh dipaksa atau ditekan untuk melakukan perkara di luar kemampuan dan minat mereka, sebaliknya anak-anak hendaklah diberikan bimbingan untuk memilih apa sahaja bidang yang mereka mahu ceburi, berasakan bakat, keupayaan dan minat mereka, asalkan memberi manfaat,” tambahnya.
Hulurkan bantuan kepada mereka yang memiliki gangguan emosi dengan mendapatkan khidmat pakar pesakit mental, pakar kaunseling atau setidak-tidaknya memberikan nasihat dan bantuan menenangkan hati dan perasaan mereka.
“Kepentingan menjaga kesihatan jelas terbukti apabila Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kesempurnaan kesihatan,” jelasnya.
Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat serta penjagaan pemakanan yang seimbang, bersenam, mengawal tekanan perasaan dan menghindari daripada terlibat dengan aktiviti yang negatif dan berisiko.
“Di samping sentiasa berdoa memohon ke hadrat Allah agar kehidupan sentiasa dilindungi dan dikurniakan kesihatan yang baik Zahir dan batin,” tambahnya.