Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan kejadian yang mengandungi banyak pengajaran dan iktibar kerana di dalam peristiwa itu Rasulullah SAW telah diperlihatkan dengan pelbagai kejadian aneh yang memperlihatkan perilaku umat manusia berserta balasan yang diterima mereka terhadap perbuatan yang telah mereka kerjakan.
Perkara tersebut disentuh oleh khatib dalam khutbah Jumaat hari ini, di mana, menurut beliau banyak pengajaran yang terkandung dalam peristiwa itu untuk dijadikan sebagai renungan dan penghayatan, antaranya Baginda Rasulullah SAW telah diperlihatkan dengan kejadian di mana segolongan manusia menghantuk-hantukan kepala mereka sendiri sehingga pecah dan kembali dalam keadaan seperti biasa dalam sekelip mata serta mengulangi tindakan yang sama secara berterusan.
Khatib berkata, “Rasulullah SAW telah bertanya kepada malaikat Jibril AS, ‘Siapakah mereka itu?’ Dijawab oleh malaikat Jibril AS ‘Mereka itu ialah golongan umat Nabi Muhammad SAW yang telah melalai-lalaikan waktu sembahyang mereka sehingga habis waktu’.”
Sesungguhnya ibadah sembahyang merupakan tanda ketaatan dan kesyukuran kita kepada Allah SWT yang telah melimpahkan berbagai–bagai nikmat dan rahmat. Ibadah sembahyang adalah ibadah yang utama dan yang mula-mula sekali akan diperhitungkan oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak.
Menurut khatib lagi, “jika seseorang itu sempurna ibadah sembahyangnya, nescaya berbahagialah dan beruntunglah dia. Jika sebaliknya, ibadah sembahyangnya tidak sempurna, maka akan rugi dan menyesallah dia kelak. Apatah lagi bagi mereka yang sengaja meninggalkan ibadah sembahyang itu, maka hukumnya berdosa besar dan balasannya bagi orang yang meninggalkan atau tidak mendirikan sembahyang itu ialah neraka.”
Sembahyang fardu lima waktu diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang mencukupi syarat wajib sembahyang iaitu Islam, baligh, berakal dan suci.
Tuntutan untuk mendirikan sembahyang ke atas seseorang itu adalah wajib selagi akal fikirannya sihat dan waras, sekalipun dalam keadaan sakit atau berkelainan upaya dan tiada alasan untuk meninggalkanya.
Cuma cara mendirikan sembahyang sahaja berbeza mengikut keupayaan pesakit itu sendiri sama ada secara berdiri, duduk atau berbaring, ujar khatib.
“Di dalam Al-Quran ada menyebutkan bahawa antara hukum dan kebaikan yang diperolehi bagi mereka yang menjaga ibadah sembahyang itu ialah pertama, Allah SWT akan memberikan pertolongan kepada hamba-hambanya yang bersabar dan mendirikan sembahyang.
“Yang kedua, orang yang khusyuk dan menjaga sembahyang tergolong dalam golongan orang-orang yang bersabar dan mendirikan sembahyang; ketiga, dengan mendirikan sembahyang kita akan memperoleh sesuatu yang mengembirakan, menenangkan dan mententeramkan hati dan keempat, orang yang mendirikan sembahyang dengan sempurna akan terselamat dari segala kelemahan, diangkat darjatnya kepada semulia-mulia makhluk di dalam syurga dengan diberi penghormatan,” jelasnya.
“Oleh itu, marilah kita berdoa dan terus istiqamah untuk sentiasa mendirikan sembahyang fardu pada waktunya dan lebih utama dan elok, mendirikan sembahyang itu secara berjemaah di masjid-masjid di negara ini,” ujar khatib mengakhiri khutbahnya.