Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Dalam usaha memberi kefahaman dan kesedaran serta menanamkan rasa cinta dalam kalangan para belia terhadap warisan budaya supaya ia akan tetap terpelihara dan terus menjadi amalan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB telah mengadakan Bengkel Pendidikan Kebudayaan Melayu Islam Beraja (MIB), baru-baru ini.
Seramai 100 orang mahasiswa dan mahasiswi Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama KUPU SB telah menghadiri bengkel berkenaan.
Dengan aktiviti utama menapih sinjang dan menambat dastar, bengkel yang diadakan di Dewan Tarbiyah, KUPU SB itu telah dikendalikan oleh Haji Mohammad bin Haji Tuah.
Para peserta diajar cara-cara menapih sinjang yang betul dan cara menambat dastar yang diikuti dengan pertandingan penambat dastar dan penapih sinjang terbaik dalam kalangan peserta pelajar.
Objektif utama bengkel berkenaan diadakan adalah bagi memperkenalkan serta mendedahkan budaya Melayu yang pelbagai khususnya dalam menambat dastar dan menapih sinjang serta menggalakkan penyertaan praktikal dan meningkatkan kreativiti pelajar.
