Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peliharalah adab ketika menziarahi orang sakit

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Islam sangat mengambil berat kepentingan mengeratkan hubungan tali persaudaraan atau silaturahim sesama Muslim.

    Salah satu cara yang dianjurkan oleh Islam untuk mengeratkan hubungan persaudaraan atau silaturahim sesama Muslim itu ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah salah satu hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain.

    Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti kita.

    Hukum menziarahi kafir dzimmi yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia dari kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam.

    Adab ketika ziarah

    Dalam menziarahi orang sakit, adakalanya kita lupa akan adab-adab yang perlu diikut sehingga niat yang baik hanya akan membebankan orang sakit dan bukan seperti yang diharapkan.

    Antara adab-adab menziarahi orang sakit yang perlu dijaga ialah:

    1) Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu ikhlas kerana Allah SWT dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.

    2) Melakukan ziarah pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama dan kerap melakukan ziarah kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit, malah juga kepada orang sakit berhampiran sekiranya berada di rumah sakit.

    Makruh hukumnya melakukan ziarah jika mendatangkan kesusahan atau gangguan kepada orang sakit, menghalang pergerakannya atau membuatkannya berasa tidak selesa.

    Dianjurkan untuk melakukan ziarah secara berselang agar tidak mendatangkan sebarang kesulitan atau gangguan kepada orang sakit. Namun sebaliknya, digalakkan untuk kerap melakukan ziarah bagi yang mempunyai hubungan rapat dengan orang sakit itu serta yang disenangi kehadirannya seperti keluarga atau sahabat karib selama mana tidak ada tegahan atau tidak menimbulkan gangguan. Begitu juga digalakkan untuk kerap melakukan ziarah jika dengan tidak melawat tiap-tiap hari akan mendatangkan kesusahan kepada orang sakit itu apabila tidak menjenguknya.

    Ulama ada mengatakan bahawa melakukan ziarah pada hari Jumaat itu lebih afdhal daripada hari-hari lain.

    3) Berada di sisi orang sakit, sebaiknya di bahagian kepala-nya, bagi membolehkan orang sakit itu berinteraksi dengan mudah dan selesa.

    4) Bertanya akan keadaan orang sakit sambil meletakkan tangan di atas dahi atau tangannya sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang maksudnya, “Kesempurnaan cara mengunjungi orang yang sakit, hendaklah seseorang itu meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan orang sakit itu, lalu bertanya kepadanya tentang keadaannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Disunatkan juga menanyakan kepada ahli keluarga pesakit akan keadaan orang sakit terutama sekali bila mana orang tersebut dalam keadaan tenat tidak boleh bercakap-cakap. Namun perlu diingat, janganlah terlalu banyak bertanya dan janganlah bertanya sehingga menjengkelkan.

    5) Ucapkanlah kata-kata yang elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisaukannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya. Jika ia kelihatan takut atau gelisah, adalah elok untuk bercakap mengenai kelebihan yang ada padanya, jasa atau kebajikan yang pernah dibuatnya agar perasaan takut itu hilang.

    Disunatkan untuk memberinya nasihat agar banyak bersabar dan tabah menghadapi penderitaan yang di alaminya, sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Orang yang berziarah hendaklah memberi harapan sembuh dengan mengatakan kepadanya bahawa apa yang ditanggungnya ini merupakan ujian dari Allah SWT dan insya Allah akan membersihkan dirinya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar. Antara ucapan Rasulullah SAW yang memberi keyakinan dan harapan sekali gus menjadi doa yang maksudnya: “(Penyakit ini) tidak apa-apa, malah membersihkan (daripada dosa), insya Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    6) Disunatkan untuk mendoakan orang sakit supaya cepat sembuh, sama ada ketika melakukan ziarah ataupun tidak dan sama ada besar harapan untuk sembuh ataupun sebaliknya.

    Terdapat banyak hadis sahih yang menyebutkan mengenai doa-doa yang boleh dibaca bagi memohon kesembuhan dan keafiatan orang sakit, antara doa yang afdhal ialah membaca doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW sebanyak tujuh kali kepada pesakit, nescaya Allah SWT menyembuhkannya yang maksudnya “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu.”

    Di samping pengambilan ubat dan penggunaan peralatan perubatan, pengubatan secara ruqyah (jampi) yang merupakan sunnah Baginda SAW juga boleh dilakukan apabila berziarah. Di antara ruqyah atau dipanggil juga menawari di kalangan masyarakat kita itu adalah dengan meletakkan tangan kanan ke atas badan orang sakit atau di tempat yang sakit dan membaca “Bismillah”, kemudian meniup kepadanya seraya membaca mu‘awwidzat (Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas) atau doa perlindungan.

    Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ada meriwayatkan yang maksudnya, “Bahawasanya Nabi SAW telah meniup badan Baginda sambil membaca al-mu‘awwidzat di kala Baginda mengalami sakit yang membawa kepada kewafatannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Selain itu juga pesakit dianjurkan membaca doa pelindung ini dengan meletakkan tangan pada tempat yang sakit sebanyak tujuh kali yang bersumber daripada hadis Muslim yang maksudnya “Aku berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku dapat dan aku waspadai.”

    7) Dianjurkan untuk meminta orang sakit itu mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kita kerana doa orang sakit adalah mustajab berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendoakanmu, kerana doanya (makbul) seperti doa para malaikat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

    8) Berpesan kepada keluarga orang sakit atau orang yang menjaganya untuk berbuat baik, berlaku lembut dan sabar dengan karenah orang sakit dan beban ditanggung kerananya.

    9) Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi orang sakit, lebih-lebih lagi bagi yang bukan mahram. Harus bagi seorang perempuan menziarahi seorang lelaki yang sakit selama mana ia menutup aurat, tidak menimbulkan perkara-perkara keji, syak, fitnah dan bukan dinamakan khalwat (berdua-duaan).

    Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ada meriwayatkan bahawa beliau pernah menziarahi Abu Bakar dan Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhuma yang mengalami demam panas, lalu ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya, “Wahai ayah, bagaimana yang ayah rasakan dalam diri ayah? Dan wahai Bilal, bagaimana yang engkau rasakan dalam diri engkau?” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    10) Jangan bercerita tentang perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain. Hendaklah disembunyikan sebarang keburukan atau keaiban yang dilihat.

    11) Bagi orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh atau sedang nazak, dituntut ke atas ahli terdekat untuk membacakan talqin atau mengajarkannya ucapan Lailallah agar kalimah tauhid tersebut menjadi ucapan terakhir sebelum dia meninggal dunia.

    Tidak perlu mengulang-ulang talqin jika orang sakit itu mengucapkan kalimat tauhid tersebut melainkan jika selepas mengucapkannya dia masih lagi bercakap atau menyebut perkara lain selain kalimat tauhid.

    Menghadapkannya ke arah kiblat iaitu dengan membaringkannya pada rusuk sebelah kanannya dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. Jika sukar, baringkan dia pada rusuk sebelah kirinya dengan menghadapkan ke arah kiblat. Jika sukar juga, baringkan dia dengan menelentang dan menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah kiblat. Angkat sedikit kepalanya supaya mukanya menghadap ke arah kiblat.

    Sunat dibacakan di sisi orang sakit itu Surah Yasin dengan jahr dan Surah Ar-Ra‘d dengan israr. Jahr ialah suara nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain dan israr ialah suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri. Sekurang-kurang jahr itu ialah suara yang hanya dapat didengar oleh orang yang bersamanya.

    Dan sekurang-kurang israr ialah suara yang hanya dapat didengar oleh diri sendiri mengikut pendengaran yang biasa tanpa ada halangan untuk mendengar seperti tuli.

    Sebagai kesimpulan, tuntutan menziarahi orang sakit memang mempunyai peranan dalam menanai sifat berkasih sayang, ambil peduli dan tidak camah mata di kalangan masyarakat. Di samping menghibur dan meringankan penderitaan orang sakit, dengan saling ziarah-menziarahi, ikatan persaudaraan dan silaturahim akan menjadi erat. Selain itu, peranan ruqyah mengikut cara Islam juga mempunyai hikmah tersendiri.

    Amalan ini sangat dituntut kerana ianya boleh mengingatkan kita kepada kematian dan mengajak kepada keinsafan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda