(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sembahyang fardu itu mempunyai ketetapan atau ketentuan waktunya. Melakukan dalam waktunya bererti sembahyang itu dianggap tunai. Allah SWT berfirman yang tafsirnya:
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya.” (Surah an-Nisaa’: 103)
Ayat ini antara lain menegaskan bahawa kewajipan sembahyang itu mempunyai ketetapan waktu. Oleh yang demikian adalah berdosa jika ia dilakukan di luar waktunya tanpa uzur syar‘ie.
Tempoh bermulanya waktu diwajibkan melaksanakan sembahyang ke atas seorang mukalaf adalah sebaik sahaja masuk waktunya secara wajib muwassa‘.
Ibadat wajib muwassa‘ ialah ibadat yang mempunyai tempoh waktu yang luas iaitu tempoh melaksanakan perintah ibadat tersebut tidak meliputi seluruh waktu yang ditetapkan.

Sembahyang boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam lingkungan tempoh waktu yang ditetapkan itu. Berlainan dengan ibadat haji yang mesti dilakukan dalam tempoh yang meliputi seluruh waktunya yang telah ditetapkan.
Adakah boleh mengakhirkan atau melambat-lambatkan sembahyang?
Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i, tidak berdosa jika seseorang sembahyang pada akhir waktunya sama ada disebabkan uzur syar‘ie atau tidak, akan tetapi dia mesti berazam (berniat dan memutuskan di dalam hati) terlebih dahulu untuk menunaikannya sebelum habis waktu yang ditetapkan.
Begitu juga, tidak berdosa bagi seseorang jika ditakdirkan dia mati sebelum menunaikan sembahyang dengan syarat dia hendaklah terlebih dahulu berazam untuk menunaikannya di dalam waktunya.
Sebaliknya, jika seseorang itu belum menunaikan sembahyang dan tidak membuat azam untuk menunaikannya dalam waktunya, kemudian dia didatangi uzur syar‘ie yang menyebabkannya tidak dapat menunaikan sembahyang di dalam waktunya seperti didatangi haid, atau meninggal dunia, maka adalah berdosa ke atasnya.
Salah satu dari dua perkara yang mesti dilakukan dengan masuknya waktu sembahyang adalah sama ada terus menunaikannya atau berazam untuk menunaikannya di dalam waktunya.
Menyentuh mengenai azam ini, terdapat dua jenis azam; azam am dan azam khas.
Azam am ialah sebaik sahaja seorang itu baligh, maka dia mesti berazam akan melakukan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya untuk sepanjang hidupnya.
Azam khas pula ialah jika seorang itu tidak melakukan dengan segera suatu suruhan sebaik sahaja masuk waktu suatu suruhan yang ditetapkan, maka hendaklah dia berazam untuk melakukan suruhan itu.
Sebagai contoh apabila masuk waktu sembahyang fardu, maka wajib ke atas seseorang untuk terus menunaikannya atau terus membuat azam di dalam hati untuk menunaikannya kemudian di dalam waktunya.
Suruhan mengerjakan sembahyang di awal waktu
Imam asy-Syafi‘i Rahimahullahu Ta‘ala menekankan bahawa mendahulukan (menyegerakan) sembahyang adalah antara ciri memelihara sembahyang kerana mengakhirkan sembahyang itu dikhuatiri akan menyebabkan lupa dan luput masa.
Perbuatan memelihara sembahyang ini jelas merupakan suruhan yang dituntut Allah SWT berdasarkan firmanNya yang tafsirnya:
“Peliharalah (kerjakan dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu khasnya sembahyang wustha. Dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”(Surah al-Baqarah: 238)
Walaupun ibadat sembahyang itu harus dilakukan di akhir waktu, menunaikannya di awal waktu adalah lebih baik dan mempunyai fadilat sebagaimana diriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:
“Aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Amalan manakah yang lebih disukai Allah Ta‘ala?”
Baginda SAW lalu menjawab: “Sembahyang pada (awal) waktunya.” Aku (‘Abdullah) bertanya: “Kemudian apa?” Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada ibu bapa.” Aku (‘Abdullah) bertanya lagi: “Kemudian apa?” “Kemudian jihad pada jalan Allah.” (Hadits riwayat Muslim)
Menurut pendapat yang ashah, tempoh awal waktu itu ialah apabila masuk sahaja waktu sembahyang, seseorang itu terus mempersiapkan diri dengan bersuci, azan dan perkara-perkara seumpamanya untuk segera menunaikan sembahyang.
Bila haram mengakhirkan sembahyang?
Sungguhpun harus melakukan sembahyang di akhir waktu, namun kelonggaran ini ada batasnya.
Adalah sangat penting untuk diketahui dan diingat, bahawa hukum mengakhirkan sembahyang sehingga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk melakukan semua rukun sembahyang adalah haram.
Bagaimana kedudukan sembahyang di penghujung waktu?
Pada dasarnya, sembahyang yang dilakukan di dalam waktu, tidak kira di awal atau di penghujung waktu dengan semua rakaatnya dilaksanakan di dalam tempoh waktu yang ditetapkan, maka sembahyang itu adalah dianggap tunai.
Sebaliknya, sembahyang yang dilakukan dengan semua rakaatnya berlaku di luar waktu yang ditetapkan, maka sembahyang tersebut adalah dianggap sembahyang qadha’.
Namun bagaimana pula jika sebahagian sembahyang tersebut dilakukan di dalam waktu dan sebahagian lagi di luar waktu?
Dalam hal ini, pendapat yang ashah mengatakan:
Jika terlaksana satu rakaat sembahyang atau lebih di dalam waktunya, maka keseluruhan sembahyang tersebut adalah sah dan dikira tunai.
Jika kurang atau tidak sampai satu rakaat, maka keseluruhan sembahyang tersebut adalah sah dan dikira qadha’.
Namun di sini perlu diingat, sembahyang yang diqadha’ disebabkan lalai dengan sesuatu yang dilarang atau yang tidak digalakkan seperti lalai dengan bermain catur atau dam, walaupun setelah berazam untuk menunaikannya di dalam waktunya, hukumnya tetap berdosa.
Contoh sembahyang di penghujung waktu:
Ahmad bersembahyang Asar di akhir waktu. Dia melakukan takbiratul ihram, membaca surah al-Fatihah, membaca surah, ruku‘, dan sujud.
Kemudian dia bangkit untuk rakaat kedua. Sebaik sahaja mahu membaca surah al-Fatihah, azan menandakan masuk waktu Maghrib kedengaran. Sembahyang Ahmad itu sah dan dianggap sebagai sembahyang tunai kerana dia telah memperoleh satu rakaat di dalam waktu Asar.
Ahmad bersembahyang Asar di akhir waktu. Seperti lazim, dia mengangkat takbir.
Sebaik sahaja dia mahu membaca surah al-Fatihah, azan menandakan masuk waktu Maghrib kedengaran. Maka sembahyang itu sah dan dianggap sebagai sembahyang qadha’ kerana dia tidak memperolehi satu rakaat di dalam waktu Asar.
Ini berdasarkan hadis muttafaq ‘alaihi yang diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang memperolehi (menyempati) satu rakaat dari sembahyang Subuh sebelum terbit matahari, maka sesungguhnya dia telah memperolehi sembahyang Subuh. Dan barangsiapa yang memperolehi (menyempati) satu rakaat dari sembahyang Asar sebelum terbenam matahari, maka sesungguhnya dia telah memperolehi sembahyang Asar.” (Hadits riwayat Muslim)
Beberapa permasalahan mengenai sembahyang di penghujung waktu
Seorang yang mendirikan sembahyang di penghujung waktu, tidak harus baginya melakukan perkara-perkara sunat dalam sembahyang, jika baki waktu yang tinggal hanya mencukupi untuk satu rakaat, bahkan wajib untuk terus melakukan perkara-perkara rukun dengan niat tunai.
Sebaliknya, jika seseorang itu hendak sembahyang dan waktu sembahyang itu hanya cukup-cukup untuk melakukan semua rukun sahaja, maka harus baginya melakukan perkara-perkara sunat dalam sembahyang, bahkan inilah yang afdal menurut qaul mu‘tamad sebagaimana di dalam kitab an-Nihayah, sekalipun akan terkeluar sembahyang fardunya atau sebahagiannya daripada waktunya.
Adapun jika memulakan sembahyang dan baki waktu mencukupi untuk melakukan semua rakaat sembahyang, kemudian berlalu (habis) waktu dengan bacaan yang panjang sebelum habis dari satu rakaat, maka hukum yang paling tepat adalah tidak haram, tidak berdosa dan tidak makruh, akan tetapi menyalahi yang utama.
Dalam keadaan kesuntukan waktu ini juga, sama ada akan terkeluar sedikit dari waktu sembahyang yang ditetapkan, umpamanya terkeluar satu rakaat atau kurang satu rakaat dari waktu sembahyang, maka adalah elok untuk tidak melakukan perkara-perkara sunat ketika berwudhu’ dan terus sahaja kepada rukun-rukun wudhu’ yang dengannya sembahyang itu dikira sah.
Bilakah dikatakan satu rakaat di dalam sembahyang itu?
Berdasarkan penerangan kitab-kitab fiqh asy-Syafi’i, yang dimaksudkan dengan satu rakaat itu adalah apabila selesai berlakunya dua sujud dalam sembahyang iaitu setelah selesai melakukan sujud kedua dan seterusnya berdiri untuk rakaat seterusnya.
Menurut kitab an-Nihayah, kadar selesai dikira satu rakaat itu adalah dengan mengangkat kepala daripada sujud yang kedua.
Berdasarkan penjelasan di atas, adalah dituntut untuk mengerjakan sembahyang di dalam waktunya.
Hatta dalam keadaan kesuntukan masa, perkara-perkara sunat hendaklah ditinggalkan supaya sembahyang itu dapat dilaksanakan secara tunai.
Oleh itu, walaupun mengakhirkan sembahyang itu harus, tetapi perlu diingat, jangan sampai terkeluar daripada waktu yang ditetapkan. Menyegerakannya di awal waktu adalah lebih utama dan padanya fadhilat yang besar.