Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelik tapi benar: Pulau-pulau teraneh di dunia

    Oleh Adiiwira

    Dalam mencari ketenangan diri daripada kesibukan kota dan bebanan kerja yang dihadapi setiap hari, melakukan aktiviti riadah di tempat-tempat peranginan bersama ahli keluarga atau sahabat merupakan salah satu jalan yang terbaik.

    Dengan mengunjungi tempat-tempat peranginan seperti pantai, taman rekreasi, pulau dan sebagainya, kita dapat melakukan pelbagai aktiviti yang dapat menenangkan fikiran.

    Sebagai contoh jika kita pergi ke satu pulau, setentunya kita akan dihidangkan dengan pemandangan alam semula jadi yang indah dengan kehijauan pokok-pokok rimbun jauh dari pencemaran.

    Walau bagaimanapun, tidak semua pulau-pulau di dunia ini kita dapat bayangkan semuanya indah.

    Malah, timbul persoalan dalam diri kita sama ada kita mampu atau berani menjejakkan kaki semata-mata untuk bercuti mencari ketenangan.

    Hal ini kerana terdapat beberapa buah pulau aneh di dunia yang belum tentu mampu dikunjungi orang ramai. Dalam artikel ini menyenaraikan beberapa buah pulau aneh tersebut:

    Keadaan bangunan di pulau Hashima yang merupakan salah sebuah daripada 505 buah pulau yang tidak berpenghuni di wilayah Nagasaki, Jepun. – Agensi
    Pulau Ramree salah sebuah pulau yang terdapat di Mynmar yang didiami buaya air masin. – Agensi
    Pulau Ilha da Queimada Grande ini juga dikenali sebagai pulau ular kerana didiami oleh ribuan jenis ular berbisa. – Agensi
    Di sebalik kepadatan kota ini menyimpan sebuah pulau terlarang untuk dikunjungi orang ramai yang dinamakan sebagai North Brother Island. – Agensi

    Pulau Ilha da Queimada Grande (Pulau Ular), Brazil

    Pulau pertama yang dikongsikan penulis yang dikategorikan sebagai pulau berbahaya di dunia yang terletak berdekatan Sao Pauolo, Brazil.

    Pulau ini dikatakan berbahaya kerana rumah kepada ribuan ular berbisa pelbagai jenis dan sejenis ular yang paling digeruni, Golden Lancehead kerana bisanya dikatakan mampu mencairkan daging manusia.

    Dalam kurun waktu tahun 1909 hingga 1920an, beberapa orang memang pernah mendiami pulau ini. Namun menurut cerita, keluarga yang mendiami pulau ini ditemukan mati setelah kawanan ular merayap masuk ke rumahnya melalui jendela.

    Beberapa orang berpendapat bahawa ular-ular ini sengaja ditempatkan oleh lanun untuk melindungi harta rampasan yang disembunyikan di pulau ini. Populasi ular di pulau itu membiak selama ribuan tahun tanpa campur tangan manusia. Adakah para pembaca berani menjejakkan kaki ke pulau ini untuk melancong?

    Pulau North Brother, Amerika Syarikat

    Seperti yang kita ketahui, kota New York merupakan sebuah kota metropolitan yang terdapat di dunia. Di sebalik kepadatan kota ini menyimpan sebuah pulau terlarang untuk dikunjungi orang ramai yang dinamakan sebagai North Brother Island yang terletak berdekatan Manhattan.

    Mengikut pembacaan penulis, pulau ini sudah tak lagi menjadi pemukiman penduduk sejak 55 tahun lalu. North Brother Island pertama kali dihuni pada tahun 1885.

    Sejarah pulau ini diisi de-ngan penyakit dan kematian. Tak lama setelah dihuni hingga tahun 1943, pulau itu dijadikan tempat kuarantin bagi orang-orang yang terjangkiti penyakit berbahaya.

    Pada tahun 1904, sebuah kapal bernama General Slocum terbakar dan tenggelam di perairannya. Sebanyak 1021 mayat hanyut di persisir pantai beberapa hari kemudian. Hanya 321 orang yang selamat.

    Upaya untuk memanfaatkan pulau sebagai pusat rehabilitasi bagi remaja bermasalah dilakukan pada tahun 1952, namun program itu tak berjalan lancar.

    Pulau itu akhirnya ditinggalkan penghuni dan terlantar sejak tahun 1963. Kini tempat tersebut dikatakan terdapat bangunan-bangunan tua yang terbengkalai dan tertutup pepohonan. Jalanannya pun hampir tidak terlihat karena terhalang tanaman-tanaman liar.

    Namun hanya orang yang diizinkan oleh New York City Department of Parks and Recreation yang dapat menginjakkan kakinya ke North Brother Island.

    Pulau Ramree, Myanmar

    Pulau ketiga yang dikongsikan penulis ini tidak kurang bahayanya seperti pulau yang pertama dijelaskan. Pulau Ilha da Queimada Grande dinyatakan didiami oleh ribuan jenis ular berbisa, namun di pulau Ramree ini didiami oleh buaya air masin.

    Buaya air masin yang mendiami kawasan hutan bakau di Pulau Ramree merupakan jenis terbesar di antara spesies buaya lainnya. Di laman Theculturetrip, menurut National Geographic, buaya ini boleh memiliki ukuran berat hingga satu ton dan panjang tujuh meter. Justeru, secara logiknya pulau ini sememangnya bahaya untuk dikunjungi.

    Seperti mana menurut sejarah di sana pernah berlaku kisah 500 tentera Jepun yang terbunuh semasa Perang Dunia Kedua.

    Peristiwa ini termasuk dalam catatan Guinness Book of World Records untuk angka kematian terbanyak dalam serangan buaya. Berikutan sejarah pulau ini semakin membuktikan Pulau Ramree sebagai salah satu pulau paling berbahaya di dunia.

    Pulau Gunkajima (Hashima), Jepun

    Pulau Gunkajima yang membawa maksud Pulau Kapal Perang atau lebih dikenali sebagai Pulau Hashima merupakan salah sebuah daripada 505 buah pulau yang tidak berpenghuni di wilayah Nagasaki, Jepun. Dulu dikhabarkan pulau ini menjadi tempat tambang batu arang bawah laut pada tahun 1887–1974.

    Pulau ini pernah didiami oleh penduduk yang majoritinya lelaki sebanyak kurang lebih 5,000 orang di pulau yang berkeluasan 6.3 hektar. Kisahnya dimulai tahun 1800-an ketika penguasa kawasan Saga dan Fukuoka menemukan cadangan batu arang dalam skala besar. Lama kelamaan pulau ini di eksplorasi oleh perusahaan besar.

    Di tahun 1916 perusahaan ini membangun pangsapuri memiliki sembilan tingkat untuk melindungi para pekerja dari terpaan angin taufan di sekitar pantai.

    Tahun 1974 pulau ini secara rasmi ditutup dan projek batu bara pun dihentikan karena tidak ada lagi batu bara yang tersisa di dasar laut.

    Kemudian penduduk mulai meninggalkan Pulau Hashima hingga akhirnya menjadi pulau kosong yang tak berpenghuni.

    Satu tahun kemudian badai besar melanda pulau ini dan merosak sebahagian besar bangunan. Kini seluruh bangunan di pulau tersebut dibiarkan begitu saja sampai runtuh hingga menjadi kawasan yang menyeramkan dan penuh misteri.

    Pulau ini pernah menjadi tarikan pelancong satu ketika dahulu kerana keadaannya yang tidak diganggu oleh sesiapa dan dibenarkan untuk dilawati oleh kerajaan Jepun namun ditutup semula dari tahun 1974 sehingga 2009.

    Pulau ini kemudiannya dibuka semula untuk lawatan dan telah tersenarai dalam UNESCO World Heritage pada 5 Julai 2015.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda