Tuesday, February 11, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelita raya terangi perkarangan rumah

    Oleh Amri HTZ –

    Setiap kali menjelangnya lebaran, pelbagai persiapan akan dilakukan untuk menghiasi halaman mahupun dalaman rumah.

    Hal ini bagi memastikan pengunjung yang datang akan merasa selesa ketika menikmati juadah raya. Sebagai satu kemestian, kehadiran lampu cucul perlu ada bagi menyerikan lagi suasana raya malahan sebagai petanda untuk mengalu-alukan kedatangan
    tetamu. Untuk itu, projek ini akan membawa awda menelusuri langkah-langkah pembuatannya daripada barangan terpakai.

    Buat persediaan awal

    Mekanisme lampu
    Cat sembur
    Balang kaca
    Paip PVC
    Tin bekas
    Super glue
    Playar
    Alat pembuka tin
    Mesin gerudi

    BERSIHKAN BALANG TERPAKAI

    Balang terpakai yang digunakan terlebih dahulu dibersihkan keseluruhannya menggunakan
    bahan pencuci pinggan. Pada permukaan luarannya, yang biasanya dilekatkan dengan kertas jenama makanan pula akan dibuangkan dengan cara memotongnya menggunakan pisau utiliti. Selain itu, merendamkan ke dalam air untuk beberapa minit juga boleh dilakukan. Gam yang tertinggal pada permukaan kaca boleh dihilangkan dengan menggosokkannya menggunakan minyak petrol ataupun alkohol. (Gambar 2)

    Bagi bahagian penutup, ia akan ditebuk menggunakan mata gerudi berukuran 38 milimeter (mm) untuk kaki lampu nanti. Dalam memudahkan langkah, tetapkan kedudukan penutup balang pada alat vise dan tandakan bahagian tengahnya sebelum menebuknya. (Gambar 3)

    Bagi memastikan kaki lampu nanti kedudukannya dapat dikekalkan pada penutup balang, pendakap daripada paip PVC akan direka. Untuk memudahkan langkah membentuknya, terlebih dahulu panaskan paip tersebut sama ada menggunakan api atau heat gun.

    Gambar 1. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 2. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 3. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 4. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 5. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 6. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 7. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 8. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 9. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 10. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 11. – Gambar oleh Max Imagination
    Gambar 12. – Gambar oleh Max Imagination

    Sebelum itu, belah separuh daripada paip tersebut untuk menjadikannya dua bahagian menggunakan gergaji. Setelah memanaskannya, pisahkan menjadi dua bahagian dengan cara menekankannya pada permukaan rata sehingga paip menjadi sejuk. (Gambar 4)

    Pendakap PVC yang telah terbentuk kemudian dipotong mengikut kedudukan skru kaki lampu bagi mengekalkannya nanti. Dalam mendapatkan kedudukannya, ukur kaki lampu yang digunakan atau guna pita perekat sebagai alat untuk meniru bentuk selain kedudukannya dengan cara melekat dan menandakan permukaannya. (Gambar 5)

    BENTUK TOPI LAMPU GUNA TIN BEKAS

    Tin bekas tersedia akan dipotongkan pada bahagian bawahnya bagi mendapatkan helaian besi yang akan dijadikan topi lampu. Alat pembuka tin akan digunakan pada langkah ini.

    Setelah memotongnya, potong separuh besi tersebut untuk menggunakan playar pemotong bagi memudahkan ia dibentuk nanti. (Gambar 6)

    Bahagian besi yang dipotong, salah satu bahagian hujung akan diselipkan di bawah bahagian hujung satu lagi untuk membentuknya menjadi corong. Kedudukannya kemudian dikekalkan dengan menyapukan gam pada bahagian hujung kedua-duanya. (Gambar 7)

    REKA TIANG LAMPU GUNA PAIP PVC

    Tiang lampu rekaan akan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian utama, sambungan T dan hujung. Sambungan T PVC sengaja digunakan untuk memudahkan wayar dimasukkan sementara bahagian hujung yang ditajamkan untuk memudahkan ia dipacakkan. Untuk mengekalkan cantuman, gunakan gam khusus PVC atau super glue. (Gambar 8)

    Pendakap yang direka sebelumnya, sebelum ditetapkan pada kaki lampu, akan diwarnakan dengan cat hitam. Ini termasuk tiang lampu yang direka sebelumnya. Sembur beberapa lapisan cat untuk memastikan keseluruhan permukaan tertutup dengan memberikan masa bagi setiap lapisan cat mengering sebelum menyemburkan lapisan seterusnya. (Gambar 9)

    Untuk mengekalkan kaki lampu pada bahagian penutup balang, ketatkan nat kaki lampu disokong dengan silikon daripada hot glue gun. Ketatkan juga nat dan bolt bagi bahagian pendakap kaki lampu serta masukkan wayar untuk lampu pada lubang pendakap. (Gambar 10)

    Silikon daripada hot glue gun juga akan digunakan untuk mengekalkan topi bagi balang. Ia akan dikekalkan pada bahagian bawahnya memandangkan kedudukannya nanti akan menghadap ke atas. (Gambar 11)

    Untuk langkah terakhir, setelah menyambungkan wayar untuk lampu, tiang lampu kini boleh dipacakkan di tempat bersesuaian. Bagi awda yang merasakan ia belum cukup kuat untuk mengekalkan kedudukan menegak lampu, menuangkan simen pada bahagian bawahnya merupakan salah satu penyelesaian.

    Lampu yang telah siap direka kini boleh dibuka untuk menerangi halaman sekali gus suasana raya awda!

    Tip rekaan

    Baldi bekas daripada plastik akan digunakan sebagai acuan untuk menuangkan simen pada tiang lampu.

    Lampu LED yang dikuasakan bateri amat disarankan untuk digunakan dalam projek ini.

    Penggunaan balang jernih akan membolehkan cahaya yang dikeluarkan oleh lampu lebih terang dan luas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda