PONFERRADA, SEPANYOL, 11 SEPT – Pelumba muda Itali, Giulio Pellizzari, menyifatkan kemenangannya di peringkat ke-17 Vuelta a Espana kelmarin sebagai ‘hari terbaik dalam karier’ selepas menewaskan nama-nama besar perlumbaan, manakala Jonas Vingegaard mengekalkan jersi merah selaku pendahulu keseluruhan.
Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan pendakian di puncak Alto de El Morredero dengan kelebihan 16 saat mengatasi jaguh Britain, Tom Pidcock, manakala rakan sepasukannya dari Red Bull Bora, Jai Hindley, menamatkan saingan di tempat ketiga di hadapan Vingegaard.
Vingegaard, pilihan utama dari Denmark, kini mendahului dengan kelebihan 50 saat dalam klasifikasi umum ke atas Joao Almeida yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Penganjur kemudian mengumumkan ujian masa individu hari ini di Valladolid dipendekkan daripada 27.2 kilometer (km) kepada 12.2km atas faktor keselamatan berikutan protes pro-Palestin yang menyasarkan perlumbaan jelajah besar terakhir musim itu.
Walaupun peringkat kelmarin berlangsung tanpa insiden, pihak keselamatan menjangkakan tunjuk perasaan besar hari ini menentang kehadiran pasukan Israel-Premier Tech.

“Bagi meningkatkan perlindungan, penganjur La Vuelta dengan kerjasama Majlis Bandaraya Valladolid serta selepas berunding dengan Juri Komisar telah memutuskan ujian masa esok dilangsungkan sepanjang 12.2km dengan mengekalkan lokasi mula dan tamat seperti dirancang,” menurut kenyataan rasmi La Vuelta.
Perlumbaan edisi kali ini akan menutup tirai Ahad di Madrid dengan kawalan keselamatan diperketatkan di ibu negara Sepanyol itu.
Dalam saingan sejauh 143.2km dari O Barco de Valdeorras, kumpulan pelumba utama saling mengawal rentak di lereng curam Morredero sebelum Pellizzari melancarkan serangan dalam baki tiga kilometer terakhir.
“Dalam tiga kilometer terakhir, saya katakan kepada diri sendiri ‘inilah masanya’. Ini adalah hari terbaik dalam hidup saya,” ujar Pellizzari.
Vingegaard pula mengakui berpuas hati walaupun bergelut dengan kepenatan selepas aksi di Tour de France, Julai lalu.
“Saya tidak berada pada tahap terbaik, tetapi saya lakukan apa yang perlu,” katanya. – AFP

