Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Peluang Alonso kekal di Leverkusen 50-50’

    MADRID, 22 APRIL – Ketua Pegawai Eksekutif Bayer Leverkusen, Fernando Carro semalam berkata peluang kelab itu mengekalkan peng-urus Xabi Alonso hanyalah 50-50, di tengah-tengah spekulasi yang mengaitkan jurulatih tersebut dengan Real Madrid.

    Carro turut mendedahkan bahawa kelab itu mempunyai ‘perjanjian lisan’ dengan Alonso, yang membolehkan beliau meninggalkan kelab untuk membimbing salah satu pasukan yang pernah diwakilinya sebagai pemain, dengan bayaran tertentu.

    Alonso, yang pernah bermain untuk Real Madrid dan membawa Leverkusen menjuarai liga dan piala tanpa kalah tahun lalu, kini dikaitkan dengan jawatan utama di Santiago Bernabeu, ketika masa depan Carlo Ancelotti dikatakan semakin samar.

    Bercakap menjelang Anugerah Sukan Laureus, di mana Leverkusen dicalonkan bagi kategori penemuan tahun ini susulan kejayaan menjuarai Bundesliga buat pertama kali musim lalu, Carro memberitahu media, “Gerak hati saya mengatakan peluangnya adalah 50-50” untuk Alonso kekal.

    “Xabi tidak mempunyai klausa pelepasan, tetapi kami ada perjanjian lisan. Jika mana-mana pasukan yang pernah diwakilinya tampil, kami akan berbincang dan tidak akan menghalangnya,” ujarnya.

    Xabi Alonso semasa ditemu bual sebelum perlawanan bola sepak Bundesliga divisyen pertama Jerman antara FC St Pauli dan Bayer Leverkusen di Hamburg, utara Jerman pada 20 April. – AFP

    Carro berkata kelab itu memerlukan kepastian dan, ‘keputusan perlu dibuat dalam tiga atau empat minggu lagi. Kami tidak boleh tunggu sehingga musim tamat.’

    “Kami bukan naif, kedudukan seorang jurulatih sangat penting buat kelab dan benar bahawa kami sedang merancang musim hadapan bersamanya. Kami bekerjasama dengannya setiap hari; dia benar-benar komited dengan persiapan ini.”

    Selepas memenangi kejuaraan musim lalu, prestasi Leverkusen sedikit merosot dan kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich, dengan baki empat perlawanan.

    Leverkusen tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Bayern dan turut gagal dalam separuh akhir Piala Jerman selepas ditundukkan kelab divisyen tiga, Arminia Bielefeld.

    Walaupun berdepan penurunan prestasi, kelab itu masih berada di landasan untuk mencatat jumlah mata kedua terbaik dalam sejarah mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda