BARCELONA, 30 April – Sepuluh tahun lalu, bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson melabel Barcelona sebagai pasukan terbaik pernah ditentang skuad kendaliannya dan segelintir pemain daripada generasi emas itu masih memikul tugas sama ketika ini.
Tiga pemain Lionel Messi, Sergio Busquets dan Gerard Pique dijangka akan dibariskan ketika melawan Liverpool dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini dan mereka turut berfikir adakah ini peluang terbaik untuk sekali lagi menjulang trofi keagungan itu. Ketika dikemudi Pep Guardiola, Barca seakan ‘menari’ sebelum menewaskan United 2-0 pada final 2009 sekali gus melengkapkan koleksi tiga gelaran semusim sehingga Ferguson berkata: “Tiada siapa pernah menghukum kami seperti itu.”
Begitupun sejurus wisel penamat ditiupkan di Wembley, Ferguson turut menyuarakan keraguannya mengenai ketahanan pemain Barca ketika itu dan adakah mereka boleh digantikan.
“Pasukan hebat turut melalui kitaran dan kitaran ketika ini mereka adalah terbaik di Eropah,” kata Ferguson. “Berapa lama ia bertahan dan adakah mereka boleh digantikan… mereka mempunyai falsafah tetapi sukar untuk berkata yang kamu boleh mencari pemain seperti Xavi, (Andres) Iniesta dan Messi sepanjang masa. Mungkin tidak.”
Xavi dan Iniesta sudah pun meninggalkan Barca, dan digantikan dengan cukup baik oleh Ivan Rakitic dan terbaharu Arthur Melo yang tampak mampu menjadi pemain hebat seperti seniornya.
Pada satu sudut, kata-kata Ferguson ada kebenarannya apabila mereka tidak dapat menghalang Guardiola daripada berpindah kerana pengendali itu mulai merasakan corak permainannya tidak lagi sesuai dengan kumpulan pemain yang dimiliki Barca.
Dalam kempen Liga Juara-Juara, selepas 2009, Barca sekali lagi menjulang gelaran sama pada 2011 dengan menjadi United sebagai mangsa tetapi sejak 2012 hingga 2018, mereka hanya memenanginya sekali dengan menewaskan Juventus pada 2015.
Pada kali terakhir Barca menewaskan United pada 2009, mereka sudah pun memenangi la Liga, gelaran pertama La Liga dalam tempoh lapan tahun dan mereka mengesahkan kejuaraan musim ini dengan menewaskan Levante, minggu lalu dengan Messi meledak gol kemenangan. – AFP