Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2021, anjuran gabungan tiga usahawan muda tempatan iaitu Perspective Insan Academy, Al-Huffaz Management dan Generasi Bekarih akan diadakan pada 23 hingga 25 Mac di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong.
Konvensyen itu dihasratkan untuk menyatukan agensi-agensi yang berkepentingan sama ada daripada pihak kerajaan, swasta, masyarakat dan para belia.
Selain itu, konvensyen tersebut juga akan menyampaikan maklumat tepat dan terkini mengenai Wawasan Brunei 2035 dan menyediakan platform bagi para belia untuk mengendalikan program-program dan projek-projek bagi mencapai wawasan 2035.
Para pemimpin belia yang terdiri daripada ahli majlis perwakilan pelajar, penuntut cemerlang, ahli pertubuhan bukan kerajaan, graduan dan pencari pekerjaan, eksekutif muda serta belia cemerlang dalam bidang masing-masing digalakkan untuk menghadiri konvensyen tersebut.
Pendaftaran bagi menyertai konvensyen tersebut telah dilanjutkan sehingga 10 Mac ini.
Selain daripada itu, para belia yang mempunyai idea dan projek yang mampu membantu dan menyokong Wawasan Brunei 2035 adalah sangat digalakkan untuk menyertai konvensyen berkenaan dan biasiswa bagi menyertai konvensyen secara percuma akan ditawarkan.
Bagi maklumat lanjut, layari laman sesawang bylconvention atau layari Facebook dan Instagram mereka.