Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang berinteraksi dengan karya seni

    MALAYSIA – Di ruang galeri Temu House di Petaling Jaya, pameran bercorak eksperimen terus menarik perhatian ramai pengunjung.

    Pameran kumpulan terkini, Consent, dengan barisan artis tempatan dan Australia kontemporari (banyak dipamerkan di Malaysia buat kali pertama), menawarkan penonton peluang untuk menyentuh, memeluk, menekan dan bermain dengan kebanyakan karya seni yang dipamerkan.

    Terdapat 11 artis dalam pameran ini, yang menampilkan pelbagai medium, termasuk seni digital, ilustrasi, pemasangan dan karya tekstil. Awda boleh mengusik-usik (tetapi bersikap lembut) seberapa banyak yang awda mahu kerana pameran, yang berakhir hujung minggu ini, disusun dengan baik untuk pengunjung berinteraksi dengan pameran.

    Tiada pengawal keselamatan untuk mengganggu atau menakut-nakutkan pengunjung.

    Sebaliknya, awda mungkin mendapatkan kurator dan artis yang mesra untuk menunjukkan kepada awda dan menerangkan sesuatu berkaitan karya yang dipamerkan.

    Karya ‘Potret Diri dalam Kekeliruan Analog’ pastinya menarik pengunjung di Temu House. – ANN/The Star
    Kurator Dedic (kiri) dan Sharmin membincang kostum dari Brecia, yang menceritakan kisah artis yang beralih daripada tugas ibu menjadi peserta aktif di persada seni. – ANN/The Star
    Seorang pelawat memeluk karya rajutan oleh Xeem Noor bertajuk ‘Artikulasi’. Xeem menggalakkan pelawat memeluk karya seni sebagai bentuk keselesaan dan sokongan. – ANN/The Star
    Timbunan pen yang disediakan untuk dicoret oleh pelawat, seperti yang digalakkan oleh artis Trinh. – ANN/The Star

    “Setiap artis membenarkan penonton tahap akses yang berbeza kepada seni mereka. Ada yang bersifat terbuka (untuk menyentuh karya seni) manakala yang lain lebih teragak-agak dan melindungi, memang difahami,” kata Sharmin Parameswaran, kurator bersama Consent.

    “Dalam industri seni, seorang artis boleh menghadapi masalah untuk mengatakan ‘tidak’ kepada peluang (pameran), walaupun mereka mungkin belum bersedia. Untuk pameran ini, kami jelaskan kepada artis, bahawa mereka mempunyai kawalan ke atas karya mereka,” tambahnya.

    Consent, yang disusun bersama oleh Dedic, ialah pertunjukan pameran yang boleh diakses, memfokuskan pada hubungan antara kurator, artis dan penonton.

    Artis David Blumenstein, Linda Brescia, Lada Dedic, Giselle Stanborough dan Garry Trinh (semua dari Australia) telah menyertai nama tempatan Joanne Loo, Nadia Nizamudin, Xeem Noor, Trina Teoh, Umar Sharif dan Tep York dalam mencipta rangkaian karya yang menyeronokkan, di mana seni merentasi sempadan pemerhatian tradisional, menjemput penonton untuk menjadi peserta aktif.

    Karya seni rajutan oleh Xeem bertajuk Artikulasi, yang kelihatan seolah-olah ia mungkin terurai pada bila-bila masa, mengalu-alukan pelawat untuk memeluk karya seni utama, yang berfungsi sebagai satu bentuk keselesaan dan ‘permaidani dinding’ sokongan. Cuma jangan tarik terlalu kuat.

    Dalam siri Ujian Pen Trinh, awda boleh menunjukkan seni kreativiti dan mencoret dengan susunan pen yang disediakan.

    Kostum pakaian ketat Brescia, yang terletak di sudut yang selesa di kawasan pameran, menceritakan kisah peribadi artis yang beralih daripada tugas ibu di rumah kepada peserta aktif dalam persada seni.

    Pakaian ketat itu, yang dipenuhi dengan isi bantal, boleh dipeluk erat jika pengunjung ingin menyentuhnya.

    “Adalah menarik untuk melihat bukan sahaja persembahan artis tentang idea mereka, tetapi juga bagaimana penonton yang berbeza bertindak balas terhadap konsep diberi atau dinafikan untuk berinteraksi dengan karya seni itu,” kata Dedic, yang juga mempamerkan karya seni bertajuk ‘Potret Diri Dalam Kekeliruan Analog’ – yang menampilkan loceng penyambut tetamu hotel – dalam pameran ini.

    Sebaik sahaja awda sampai ke bahagian atas tangga di galeri, awda akan melihat papan tanda yang memberikan amaran: ‘Jangan Sentuh’ loceng di dinding.

    “Saya sebenarnya tidak kisah jika pelawat menekan loceng. Dari segi psikologi, mungkin ada sebab tertentu mengapa orang berasa perlu menyentuh karya seni, atau takut untuk mencuba karya interaktif.

    “Bagi saya, reaksi penonton adalah apa yang akan saya nantikan,” ujar Dedic. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda