BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Pasukan Brunei DPMM FC tekad mencari kemenangan sulung menjelang perlawanan dengan Pasukan Hougang United selepas kecundang kedua-dua perlawanan awal persaingan Liga Singapura (Liga-S) pada Ahad ini.
“Rehat panjang memberi peluang kepada jurulatih untuk meningkatkan dan memantapkan lagi pasukan sambil memperbaiki kelemahan yang lalu,” jelas Pengurus Pasukan Brunei DPMM FC, Mohd Ali bin Haji Momin pada sesi latihan di Stadium Mini Jerudong.
Menurutnya, pemain-pemain gigih menumpukan latihan dalam mengukuhkan benteng pertahanan, di samping mencipta ruang serangan yang berkesan dari tiap sudut.
Dalam pada itu, pasukan elit negara itu pasti lega atas kejayaan pemain import baru dari Serbia, Zeljko Savic yang telah lulus ujian kepantasan (kecergasan) dari FAS yang menjadi kewajipan setiap pemain dalam senarai Liga-S.
Savic yang menggantikan pemain dari Perancis, Francois Marque akan menayangkan sentuhan sulungnya ketika menentang Pasukan Hougang hujung minggu ini.
“Kita harap dengan persiapan yang rapi ini, pasukan kita akan mampu melakar kejayaan sulung di pentas Liga-S musim ini,” ujar Mohd Ali.