Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Para graduan lepasan institusi pendidikan dan pencari kerja adalah dialu-alukan hadir mengambil peluang mencari pekerjaan di Construction Industry Job Marketplace 2.0 yang akan diadakan selama dua hari iaitu 27 hingga 28 Februari bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang di Bangunan Kementerian Pembangunan.
Sebanyak 50 buah syarikat akan menyertai acara berkenaan yang akan menawarkan lebih kurang 250 kekosongan jawatan yang berkaitan dengan sektor pembinaan dan juga jawatan-jawatan am yang lain. Selain daripada syarikat-syarikat pembinaan yang akan menawarkan jawatan-jawatan di syarikat mereka, ceramah live talk juga diadakan semasa acara tersebut daripada pekerja-pekerja tempatan, ahli-ahli profesional di dalam industri mahupun agensi yang berkepentingan.
Bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman sesawang mod.gov.bn/misc atau melalui pautan yang disediakan di dalam sosial media Instagram @misc.construction.