Saturday, February 8, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang halusi bacaan Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Peluang mendalami dan menghalusi bacaan Al-Quran digunakan sebaik mungkin oleh kumpulan pertama Kelas Mengaji Al-Quran bagi Muslimah dan Penduduk Rancangan Perumahan Negara Kawasan II Kampung Mentiri.

    Kelas mengaji Al-Quran bagi penduduk kampung merupakan salah satu usaha ketua kampung bagi menerapkan cinta kepada Al-Quran dalam kalangan penduduk kampung.

    Ia juga merupakan salah satu cara pemimpin kampung bagi memeduli anak buah dalam bidang keagamaan khususnya dalam pembacaan Al-Quran.

    Kumpulan pertama terdiri daripada mereka yang telah bersara di kampung berkenaan, telah mengikuti kelas mengaji Al-Quran yang diadakan tiga hari seminggu di kediaman Pemangku Ketua Kampung RPN Kawasan II Kampung Mentiri.

    Kelas mengaji berkenaan telah dibimbing oleh Hajah Ismawati binti Haji Sulaiman, isteri pemangku ketua kampung berkenaan.

    Pelajar yang terdiri daripada golongan warga emas menerima bimbingan daripada Hajah Ismawati. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar beramai bersama pembimbing kelas berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Dayang Jauyah, 66. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Sharifah Taisah, 65. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Penyertaan golongan warga emas dalam bacaan Al-Quran berkenaan mencerminkan kegigihan dan semangat yang dimiliki walaupun usia lanjut tidak mematahkan semangat untuk terus menimba ilmu dalam mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran masing-masing selain mengisi masa lapang.

    Dua orang peserta yang ditemui pada kelas berkenaan, hari ini, Sharifah Taisah binti Shaikh Haji Ibrahim, 65, dan Dayang Jauyah binti Yussof, 66, melahirkan rasa syukur kerana adanya peluang yang diberikan kepada para pesara untuk mengisi masa dengan kegiatan berfaedah.

    Kelas mengaji untuk warga emas yang bermula pada Februari lalu, diadakan bukan saja untuk menghalusi bacaan Al-Quran tapi dalam masa yang sama pelajar kelas berkenaan juga diajar hukum-hukum yang terdapat dalam kitab suci berkenaan.

    Sementara Hajah Ismawati selaku sukarela pembimbing kelas berkenaan pula mengongsikan cabaran untuk membimbing golongan warga emas yang mana cabarannya berbeza dengan mengajar golongan kanak-kanak terutama sekali dalam bab memberi
    teguran.

    Untuk memudahkan pengajaran, beliau telah menggunakan konsep teguran untuk golongan dewasa dengan membayangkan teguran anak kepada ibunya manakala teguran untuk kanak-kanak dengan membayangkan teguran ibu kepada anaknya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda