Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Peluang Harimau Malaya mara ke Piala Asia nampak samar

KUALA LUMPUR, 29 APRIL – Peluang terbaik dimiliki skuad Harimau Malaya dalam melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 mungkin terjejas sekiranya saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 hanya dibenarkan bersambung semula antara Oktober dan November depan.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Hanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.

Jika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhasrat menyambung semula saingan kelayakan yang ditangguhkan susulan penularan COVID-19 dalam kalendar perlawanan antarabangsa pada bulan November, maka peluang Malaysia untuk mara dilihat agak sukar.

“Macam mana nasib Malaysia dalam kempen kelayakan, skuad kebangsaan sekarang berada di kedudukan kedua. Saya risau boleh atau tidak kita bermain menentang UAE dan Vietnam kalau persediaan hanya bermula bulan Oktober,” jelas bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan kepada Bernama. – Bernama

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda