Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang hidup mangsa banjir di Pakistan semakin tipis

    BUNER, PAKISTAN, 17 OGOS – Pasukan penyelamat Pakistan menggali runtuhan rumah yang ditimbus bongkah batu besar hari ini ketika mereka mencari mangsa banjir kilat dan tanah runtuh yang meragut sekurang-kurangnya 344 nyawa, dengan lebih 150 lagi masih hilang.

    Sejak Khamis, hujan lebat berterusan mengakibatkan banjir, kenaikan paras air serta tanah runtuh yang memusnahkan perkampungan dan memerangkap penduduk di bawah runtuhan.

    Sebahagian besar kematian, iaitu 317 orang, dilaporkan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang terjejas teruk akibat hujan monsun. Di daerah Buner, sekurang-kurangnya 208 mangsa terkorban, manakala 10 hingga 12 buah kampung dilaporkan tertimbus sebahagiannya.

    “Mangsa mungkin terperangkap di bawah runtuhan rumah atau dihanyutkan arus deras,” kata Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah, Asfandyar Khattak. Beliau menambah puluhan lagi penduduk turut hilang di daerah Shangla.

    Kemudahan asas turut lumpuh apabila talian elektrik dan menara komunikasi rosak, menyebabkan Buner terputus bekalan elektrik dan isyarat telefon.

    Jurucakap agensi penyelamat wilayah, Bilal Ahmad Faizi, berkata kira-kira 2,000 anggota dikerahkan di sembilan daerah meskipun hujan masih menyukarkan operasi.

    “Operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan masih diteruskan, namun peluang mereka untuk hidup sangat tipis,” katanya. – AFP

    Seorang penduduk mengalihkan lumpur dari rumahnya sehari selepas banjir kilat di daerah Buner di utara Pakistan pada 16 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda