Peluang hulur sumbangan secara pandu lalu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Orang ramai sekali lagi berpeluang untuk sama-sama beramal dalam membantu orang-orang yang memerlukan di negara ini dengan menghulurkan sumbangan secara pandu lalu pada 2 hingga 4 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan buat kali kedua oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Sukarelawan Belia.

Ketua Sukarelawan Belia, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh semasa ditemu bual menjelaskan, sumbangan dengan konsep pandu lalu berkenaan diadakan sekali lagi, setelah mendapat sambutan daripada orang ramai pada sumbangan sebelum ini.

“Dengan adanya pusat sumbangan ini, ia akan lebih memudahkan orang ramai dan penderma bagi menyerahkan sumbangan mereka untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukannya,” jelasnya.

Katanya lagi, “Ini juga adalah sebahagian daripada usaha ke arah wawasan 2035 untuk membasmi kemiskinan menjelang 2035.”

Sumbangan yang diperlukan termasuk beras, gula, tepung, telur, makanan dalam tin, roti dan biskut, minuman campur, ubi kentang, buah dalam tin, minuman tiga dalam satu di samping keperluan tandas dan barangan mandi.