SEROPEDICA, Brazil – Tidak ada satu pun sayap yang mengepak-ngepak di pusat pemeliharaan Seropedica berdekatan dengan Rio de Janeiro, di mana burung ara dan burung nuri yang lainnya belajar bagaimana untuk terbang lagi selepas ianya diselamatkan dari pedagang haram.
Berdekatan dengan bahagian penjagaan burung-burung itu, binatang lain seperti monyet, penyu, ular boa dan aligator juga dibawa ke puasat rawatan IBAMA, yang hanya memakan masa 90 minit dari Rio.
Entiti yang dibiayai kerajaan untuk menjaga haiwan liar yang diburu, cedera atau penjinakkan ini dan juga mengembalikannya seperti sedia kala agar ia dapat kembali semula ke habitat mereka yang asal.
Beberapa burung nuri mempunyai kesan-kesan penganiayaan, sementara yang lainnya mengatakan ‘ola’ (helo) berulang kali – satu petanda yang ianya telah dijinakkan. Dalam menguatkan lagi sayap burung yang telah lemah akibat dikurung selama bertahun-tahun, doktor haiwan, Taciana Sherlock, telah melakukan senaman terhadap haiwan-haiwan tersebut dengan meletakkannya di lengannya dan mengoncangkannya keatas dan kebawah.
Burung Ara berwarna biru dan kuning yang sangat menawan itu sedang menjalankan latihan untuk mengepakkan sayapnya. Beberapa sayapnya telah disepit ketika dalam kurungan untuk menghadkan pergerakannya dan ia kelihatan belum bersedia untuk terbang dengan sendirinya.

Burung-burung itu juga digalakkan untuk terbang menggunakan dua tenggeran yang ditetapkan pada jarak antara satu sama lain dengan makanan diletakkan di kedua-dua tempat.
“Ini adalah sekolah terbang! Kami melatih burung-burung ini agar ianya dapat bersedia untuk hidup kembali di alam liar. Kami juga melatihnya untuk mengenalpasti pemangsa dan mencari makanan,” seperti yang diterangkan oleh doktor haiwan.
Sedikit demi sedikit, kumpulan IBAMA – tuan rumah kepada 7,000 haiwan setiap tahun – menjauhkan hubungan mereka dengan burung-burung tersebut sehingga ia tidak lagi terbiasa dengan manusia. Ia kemudiannya dilepaskan ke habitat asal mereka, selalunya dalam sebuah hutan di negeri lain seperti Amazonia.
“Apa yang telah dialami oleh haiwan-haiwan ini adalah sangat kejam, dan ia adalah menggerunkan untuk melihat haiwan-haiwan yang baru tiba dalam keadaan yang sangat teruk. Namun, ganjarannya ialah untuk melihat haiwan-haiwan ini bersedia kembali semula ke alam liar. Baru-baru ini, kami telah melepaskan 20 ekor burung Ara dan burung Toucan yang boleh terbang di Goias,” seru Sherlock, pusat negeri.
Jualan terhadap binatang-binatang liar adalah dilarang, namun ianya diamalkan secara meluas di Brazil, terutamanya di Rio, rumah kepada bandar hutan terbesar di dunia. Spesies yang berasal dari rantau ini masih dapat dilihat di kawasan berdekatan, dan kadang-kadang dijumpai di dalam bandar ini sendiri. Burung Toucan, ular dan monyet adalah suatu pemandangan biasa yang terlihat di beberapa pasar-pasar di sana.
IBAMA menganggarkan sekitar 38 juta haiwan telah ditangkap di alam liar setiap tahun. Empat juta daripadanya dijual dalam industri yang bernilai kira-kira AS$2.57 bilion. Burung bersaiz kecil menghasilkan pendapatan yang lumayan terutamanya ‘burung yang dapat menyanyi’. Mempunyai sangkar burung adalah satu amalan biasa dalam kawasan kejiranan pekerja Rio dan pertandingan nyanyian burung secara sembunyi-sembunyi juga adalah satu perkara biasa.



Dalam memudahkan jualan bagi penggunaan domestik, beberapa pedagang haram telah menyepit bahagian sayap burung atau mematahkan beberapa tulangnya dengan cepat. Penderitaan itu telah melumpuhkan burung-burung tersebut, yang mengakibatkan seolah-olah ia seperti jinak.
Polis alam sekitar telah membawa lebih daripada 300 ekor burung-burung kecil ke pusat rehabilitasi dalam pertengahan bulan Julai. Roched Seba, pengasas institut Vida Libre, juga rakan kongsi IBAMA, menunjuk puluhan sangkar-sangkar kecil yang ada di sana.
‘Kadang-kadang, tiga ekor dari burung-burung ini disimpan dalam satu tempat penyimpanan mini, oleh itu sudah tentu beberapa daripadanya tidak akan mampu bertahan semasa proses pengangkutan dari hutan ke bandar,” kata Seba, 31.
“Di Brazil, kami mempunyai biodiversiti yang terbanyak di dunia, tetapi orang ramai tidak mengetahui haiwan-haiwan ini dan mahu memelihara spesies liar. Kita patut mengubah minda ini dengan maklumat yang lebih baik.”
Seba sering membuat kerjasama dengan Sherlock dan selalu membawa haiwan-haiwan yang ditemuinya di Rio setiap kali beliau mengunjungi pusat itu di Seropedica. Namun, beberapa haiwan-haiwan tidak mampu untuk hidup dengan selamat apabila barada di luar kurungannya lagi. Ia telah dijinakkan sehingga pada satu tahap ia akan berusaha mencari manusia jika ianya dibebaskan.
Semasa lawatan AFP ke pusat itu, seekor rakun telah dibawa ke pusat pemulihan itu setelah ianya dijumpai di favela. Haiwan tersebut berkemungkinan berasal dari hutan tropika Rio, dalam keadaan takut, cedera dan boleh dikatakan buta.
Seba akui bahawa haiwan tersebut tidak lagi dapat kembali ke alam liar. Burung bersaiz kecil dengan bulunya berwarna hijau telah mengikuti doktor-doktor haiwan di sana ke merata-rata tempat.
“Ia telah belajar cara untuk terbang semula. Ia boleh terbang pada bila-bila masa sahaja namun ia tetap mendampingi kami setiap masa, oleh itu ia telah menjadi maskot kami,” kata Seba. – AFP