Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang keemasan

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    SEPANG, Malaysia, 1 Julai – Wartawan-wartawan dari sembilan buah negara di rantau Asia Pasifik termasuk Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina, Thailand dan lainnya telah berkumpul bagi majlis pelancaran pembukaan acara Akademi Pemanduan Media (MDA) di Pusat Pengalaman Porsche (PEC), Litar Lumba Antarabangsa Sepang, malam ini.

    Sempena pelancaran itu, majlis makan malam turut diadakan bagi meraikan para wartawan, profesional dan golongan elit dengan pergenalan kereta lumba Porsche model GT2 RS yang menjuarai beberapa perlumbaan yang juga akan digunakan dalam program latihan nanti selama tiga hari.

    MDA yang berlangsung dari 1 hingga 4 Julai ini akan memberi peluang keemasan kepada wartawan-wartawan dan penulis blog untuk mengalami sendiri memandu kereta-kereta sport Porsche baharu termasuk 911 GT3, 718 Cayman GTS dan Panamera Turbo S-Hybrid selain memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang kereta-kereta Porsche.

    Menurut kenyataan dari Porsche Asia, Singapura, pelumba 911 GT3 Cup juga akan berada di acara ini semasa pusingan Hot Lap nanti untuk kali pertama di MDA.

    Porsche model GT2 RS yang juga akan diuji pandu oleh para wartawan, penulis blog di Litar Lumba Antarabangsa Sepang.

    Pada acara ini nanti, para peserta akan terlibat dalam uji pandu kereta-kereta lumba Porsche sebenar dengan ditemani pelatih profesional dari Porsche agar para peserta dapat menganalisis kereta berkenaan dengan lebih terperinci.

    MDA yang pertama kali dilancarkan pada 2015 di Litar Bira, Pattaya, Thailand, memberikan peluang kepada para media mengalami prestasi maksimum kereta Porsche melalui kursus berturut-turut yang direka untuk mengasah kemahiran memandu bersama pelatih Porsche bertaraf dunia di PEC Sepang yang baharu.

    Selain aktiviti di trek, para peserta akan mempelajari teori dan bengkel-bengkel pemanduan, penggunaan penyaman udara semasa berlumba dan sesi soal jawab dengan jurulatih Porsche.

    Orang ramai yang berminat untuk mengalami pemanduan kereta Porsche di trek bolehlah mendaftar untuk program di PEC Sepang dengan melayari www.porsche.com/experienceAPAC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda