Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peluang kerja sambilan, bebas di hujung jari

    KUALA LUMPUR, 24 Jun – Usaha rakyat Malaysia untuk mencari pendapatan lebih, kini semakin mudah menerusi pelancaran aplikasi DuitDo-it.

    Sama seperti format aplikasi mencari pasangan iaitu Tinder, pencari kerja kini boleh memohon pekerjaan sambilan, kontrak mahu pun secara bebas dengan hanya satu leret. DuitDo-it dibangunkan serta dimiliki oleh agensi pengambilan pekerja, AP Symphony Search yang dijadikan sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat untuk membantu rakyat negara ini menjana pendapatan selain memenuhi keperluan majikan yang amat memerlukan pekerja sambilan, kontrak atau secara bebas.

    Dalam satu kenyataan hari ini, agensi itu berkata kewujudan ramai warga tempatan termasuk yang menganggur, lepasan sekolah, pelajar, pesara dan suri rumah akan membolehkan syarikat mendapatkan tenaga kerja sementara secara lebih mudah.

    Malah, ini sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing yang menyebabkan aliran keluar dana yang besar, kata agensi itu. Apa yang menarik, DuitDo-it adalah percuma untuk mereka yang mencari kerja dan boleh dimuat turun menerusi Google Play.

    Orang ramai boleh meletakkan peluang kerja seperti mencari mereka yang boleh menjaga kucing, pokok atau pun bagi upah menjahit.

    “Semakin ramai yang mencari kerja bukan jam 9 pagi hingga 5 petang bagi membolehkan mereka mempunyai jadual lebih fleksibel dan dapat mengawal masa,” katanya.

    Tugasan seperti reka letak laman web, persediaan akaun dan jurumekap adalah antara yang terdapat dalam DuitDo-it. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda