Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Peluang ketahui pendidikan luar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Ratusan pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian mereka ke institusi-institusi pengajian di luar negara berpeluang untuk mendapatkan penerangan dan maklumat semasa Pameran Pendidikan Antarabangsa Findlay yang berlangsung di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, hari ini.

    Pada pameran itu, para pelajar bukan sahaja bertemu dan berinteraksi dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej United Kingdom, Australia, Malaysia, Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada tetapi juga meneroka pilihan yang ada bagi melanjutkan pengajian mereka.

    Hadir menyertai pameran ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Ambra Dickie; Setiausaha Kedua Politik di Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, Stephen Taylor; dan Setiausaha Kedua Ekonomi dan Politik di Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam, Yan Kok.

    Pengarah Urusan Findlay, Sunita Martin menyatakan bahawa pameran yang diadakan mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di mana lebih 300 pelajar telah membuat pendaftaran awal untuk mempercepatkan proses mereka berjumpa dengan wakil institusi pilihan masing-masing.

    Beliau menyatakan lagi bahawa pameran itu memberikan peluang kepada para pelajar dan ibu bapa mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai institusi-institusi pengajian pilihan mereka secara bersemuka.

    Dayangku Siti Nur Hazirah Aqilah (tengah) menghadiri pameran pendidikan untuk mendapatkan maklumat mengenai universiti di Australia dan United Kingdom.
    Para pelajar dan pengunjung berpeluang untuk bertemu serta berinteraksi dengan wakil universiti dan kolej bagi mendapatkan penerangan dan maklumat lanjut mengenai pengajian di universiti berkenaan.

    Sementara itu, Stephen Taylor menyatakan bahawa United Kingdom terus menjadi pilihan utama bagi pelajar-pelajar Brunei melanjutkan pengajian mereka ke luar negara.

    Beliau turut mendedahkan lebih 7,000 pelajar Brunei telah melanjutkan pengajian mereka di universiti dan kolej di United Kingdom.

    Reputasi kecemerlangan akademik institusi pengajian tinggi di negara berkenaan, menjadikannya sebagai pilihan bagi sebahagian ramai pelajar Brunei untuk melanjutkan pengajian mereka, jelas Stephen Taylor.

    Manakala itu, Yan Kok berkata pameran itu merupakan satu peluang yang amat baik bagi para pelajar untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada universiti-universiti mengenai dengan barisan kursus yang ditawarkan di Australia. Beliau menerangkan bahawa setiap universiti di Australia mempunyai tarikan unik tersendiri.

    Ia memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengikuti kursus-kursus unik yang tidak ditawarkan di negara-negara lain.

    Salah seorang pelajar yang menghadiri pameran berkenaan, Dayangku Siti Nur Hazirah Aqilah binti Pengiran Saiful Rizal menyatakan harapan untuk mendapatkan maklumat mengenai universiti-universiti yang menawarkan kursus pergigian dan terapi pekerjaan di Australia atau United Kingdom untuk melanjutkan pengajiannya.

    Beliau berharap menerusi pertemuan dengan wakil-wakil universiti di pameran itu, ia boleh memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai dengan universiti yang sesuai baginya.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...