Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Para pemohon yang ingin mengetahui lebih lanjut dan mendapatkan penerangan mengenai program-program yang ditawarkan khususnya bagi kemasukan Februari 2024 dialu-alukan untuk berkunjung ke Hari Terbuka Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang berlangsung di Dewan RUANG, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bermula hari ini.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik) IBTE, Haji Norjemee bin Jenek.
Hari Terbuka IBTE yang diadakan selama dua hari itu bermatlamat untuk memberikan peluang kepada pemohon dan orang awam mengetahui lebih lanjut mengenai program-program yang ditawarkan bagi kemasukan Februari 2024.
Ia juga memberikan peluang kepada para pengunjung berinteraksi bersama tenaga pengajar dan pelajar bagi mendapatkan perkhidmatan nasihat. Sebanyak 10 program di peringkat HNTec, NTec dan ISQ akan ditawarkan bagi kemasukan Februari 2024.
Sekolah-sekolah yang terlibat pada acara itu adalah Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (SICT), Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Pusat (SEEC) dan Sekolah Hosptaliti dan Pelancongan (SHNT). Perkhidmatan petak TVECAS secara pendaftaran walk-in turut dibukakan semasa Hari Terbuka berkenaan. Ia juga diserikan dengan penglibatan pelajar-pelajar IBTE dalam mengadakan aktiviti dan pameran termasuk acara jualan Bake Sale, permainan tradisional Brunei, permainan kuiz dan lawatan sekolah serta bilik darjah secara realiti maya.