Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal menjelang, Jerudong Park Country Club Sdn Bhd akan mengadakan JP Gerai Ramadan bermula 16 April hingga 9 Mei di Jerudong Park Garden.
Sehubungan itu, pendaftaran untuk menyertai JP Gerai Ramadan telah dibukakan kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berminat untuk menjual produk-produk mereka seperti makanan dan minuman, pakaian-pakaian serta produk-produk lain.
JP Gerai Ramadan yang pertama kali diadakan itu berkonsepkan santai di mana para pengunjung boleh berbuka puasa di tempat yang disediakan sambil menikmati pemandangan di Jerudong Park Garden dan gerai Ramadan berkenaan akan dilanjutkan sehingga 11 malam.
Dalam pada itu juga, dengan adanya gerai Ramadan berkenaan, ia dapat mengetengahkan lagi pengusaha-pengusaha PMKS dalam mengembangkan perniagaan mereka dan pada masa yang sama menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan menjual pelbagai juadah berbuka serta pakaian untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pendaftaran bagi menyertai gerai jualan berkenaan akan dibukakan sehingga 8 April depan.