Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Bagi memberi peluang kepada golongan kanak-kanak untuk melihat lebih dekat lagi haiwan seperti serangga, reptilia dan mamalia, PMBF Animal Pet Wonder (APW) telah mengadakan pameran haiwan peliharaan di Tingkat 1, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara.
Pameran yang berlangsung sehingga penghujung Disember itu, diadakan sempena cuti hujung tahun yang mempamerkan lebih 30 jenis haiwan dari dalam dan luar negara.
Penolong Pengurus PMBF APW, Awang Muhammad Waie Al-Mujib ketika ditemui baru-baru ini antara lain menjelaskan, pameran berkenaan telah mendapat sambutan daripada ibu bapa dan penjaga yang tidak melepaskan peluang membawa anak-anak mereka untuk melihat lebih dekat lagi haiwan yang berdarah sejuk seperti buaya, ular, kura-kura dan lainnya.
Beliau turut mengongsikan, antara haiwan yang menjadi tarikan termasuk ular dan buaya yang membuatkan pengunjung teruja untuk memegang haiwan berkenaan secara langsung.
Menjelaskan mengenai haiwan yang dipamerkan, beliau berkata, kebanyakannya telah dipelihara sejak kecil lagi selain ada juga haiwan yang diselamatkan dan dijumpai, antaranya buaya.
“Buaya yang dijumpai di longkang sekolah enam tahun yang lalu itu diberi nama Nusa,” ujarnya sambil menambah, semasa ditemui, ia sangat kecil.
Pameran berkenaan juga secara tidak langsung memberi pendidikan dan pengetahuan akan ciri-ciri dan keunikan yang terdapat pada haiwan yang dipamerkan kepada para pengunjung terutamanya golongan kanak-kanak.
Rata-rata kanak-kanak yang mengambil kesempatan mengunjungi pameran itu berkongsi perasaan teruja kerana berpeluang memegang beberapa haiwan seperti ular dan buaya buat pertama kali.