Oleh Aziz Idris
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Bagi mempromosikan pakej mesra-Islam dan insentif perjalanan bagi pelancong Brunei, Biro Pelancongan Taiwan telah menyertai Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2019 yang akan bermula pada 3 hingga 4 Ogos ini.
Sehubungan itu sebagai langkah pertama dalam mempromosikan pesta tersebut, biro berkenaan telah menghoskan bengkel pelancongan untuk ejen pelancongan dan wakil media tempatan di Hotel Radisson malam tadi, bagi memperkenalkan pakej pelancongan Taiwan terbaharu, termasuk inisiatifnya untuk menarik pelancong Islam ke pulau itu.
Pengarah Pejabat Biro Pelancongan Taipei di Kuala Lumpur, Abe Chou berkata perjalanan ke Taiwan kini bertambah mudah, lebih-lebih lagi dengan adanya penerbangan terus dari Bandar Seri Begawan ke Taipei melalui Syarikat Penerbangan Diraja Brunei yang mengambil masa selama 3 jam dan 35 minit.
Untuk menarik lebih banyak pengunjung, Kementerian Luar Negeri Taiwan baru-baru ini mengumumkan pelanjutan percubaan selama 14 hari untuk program kemasukan tanpa visa untuk mana-mana warganegara Brunei, serta penduduk tetap dengan kad pengenalan Brunei, berkuat kuasa 1 Ogos hingga 31 Julai 2020.
“Kami mahu menarik lebih banyak pelawat dari negara-negara Asia Tenggara dan Selatan ke Taiwan untuk tujuan pelancongan atau perniagaan, serta memperluaskan dan memperdalam interaksi, pertukaran dan kerjasama Taiwan dengan negara-negara ini di semua peringkat,” katanya.

Beliau menonjolkan inisiatif biro untuk menarik pelancong Islam ke Taiwan, termasuk pelantikan Mira Filzah sebagai duta Pelancongan Taiwan untuk berkongsi pengalamannya dengan rakyat Malaysia dan Brunei. Pelakon itu juga membintangi video promosi ‘Salam Taiwan’ yang mempamerkan pemandangan Taiwan, makanan dan perhotelan yang berkonsepkan kepada pasaran Islam.
Turut hadir semasa bengkel tersebut ialah Ketua Setiausaha Besar Persatuan Cina Muslim (CMA) Taiwan, Salahuding Ma yang menyenaraikan hotel mesra dan restoran Islam yang terdapat di Bandar Taipei dan kawasan sekitarnya.
“Walaupun bilangan orang Islam Taiwan adalah kira-kira satu peratus daripada jumlah penduduk, tetapi Taiwan tetap bekerja rapat dengan CMA untuk memastikan pakej Islam termasuk penginapan dan makanan mendapat pensijilan dan piawaian halal,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Persatuan Pembangunan Ladang Riadah Taiwan (TLFDA), Lin Ruei-Yang yang menjelaskan bahawa Taiwan adalah negara yang kaya dengan buah-buahan. Antara ladang Taiwan yang paling banyak dikunjungi terletak di Hsinchu, Miaoli, Nantou, Pingtung, YiLan, Hualien, Chiayi dan Tainan.
“Selain meningkatkan ekonomi pertanian, TLFDA juga menggalakkan pendidikan alam sekitar yang membawa kestabilan sosial dan pembangunan lestari ke kawasan luar bandar sebagai satu cara untuk kembali kepada masyarakat,” kata Lin Ruei-Yang.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi pameran berkenaan di Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2019.